Search This Blog

Sunday, September 5, 2010

Lelaki gantung diri di hadapan rumah




SHAH ALAM – Seorang lelaki dipercayai membunuh diri dengan menggantung diri di hadapan rumah kayunya di Kampung Bagan Tochew, Pulau Ketam, Klang dekat sini, semalam. 

Mangsa yang dikenali Ah Cun, 39, dikatakan menggantung diri selepas berpisah dengan isteri dan empat anaknya. 

Difahamkan, semenjak itu, mangsa hanya tinggal di rumah itu seorang diri. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mayat mangsa ditemui tergantung oleh adiknya ketika datang ke rumah berkenaan kira-kira jam 8 pagi. 

“Mangsa ditemui tergantung dengan tali jenis nilon yang diikat pada sebatang kayu bumbung di depan rumah. 

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa bertindak menggantung dirinya beberapa jam sebelum ditemui kerana tiada sebarang senjata dan kesan pergelutan ditemui di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di rumah itu tidak menemui sebarang nota yang menjadi punca sebenar kematiannya. 

“Kami percaya mangsa mengalami tekanan perasaan sejak dia berpisah dengan isteri dan anak-anaknya,” katanya. 

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment