Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Lagi hilang raya kedua

JASIN: Hanya air mata menjadi teman setia buat seorang ibu apabila mengenangkan nasib anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak hampir dua minggu lalu.
Nurul Dinah Jamal, 23, dari Jalan Pengkalan Samak, Merlimau dilaporkan menghilangkan diri pada 11 September lalu ketika umat Islam menyambut hari raya kedua.
Menurut ibunya, Habsah Mohd Diah, 54, anaknya keluar rumah jam 10 pagi dengan memberitahu dia mahu berkunjung ke rumah rakan.

Dia yang tidak mengesyaki apa-apa hanya membenarkan anak ketiga daripada empat beradik itu keluar bersendirian.

“Dia keluar hanya membawa beg tangan serta memakai tudung berwarna krim, kemeja-T lengan panjang berwarna merah serta berseluar denim biru.

“Apabila menjelang malam, saya mula risau apabila Nurul masih belum pulang, tetapi tiada siapa mengetahui ke mana dia pergi.

“Saya bertambah risau apabila tidak menerima sebarang jawapan di telefon bimbitnya, hanya peti simpanan pesanan suara,” katanya semalam.

Habsah berkata, keesokannya, mereka mencarinya di bandar Melaka, selain bertanya rakan serta saudara mara.

Namun, katanya, semua rakan dan saudara mara tidak mengetahui atau mempunyai maklumat.

“Saya terus membuat laporan pada hari kedua kehilangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin,” katanya.

Beliau yang menghidap kencing manis kronik hingga kehilangan kaki kanan pada paras lutut tertekan dengan kehilangan anaknya.
Menurutnya, beberapa hari sebelum kehilangan anaknya, dia tidak menunjukkan perubahan dan pada Aidilfitri pertama, Nurul nampak ceria seperti biasa.

“Kami tidak pernah berselisih faham dan saya juga tidak mengetahui sama ada dia mempunyai teman lelaki,” katanya.

No comments:

Post a Comment