Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Kumpulan raya awal turut solat Jumaat berasingan



Oleh Rashidi Karim
bhnews@bharian.com.my
2010/09/17

Jamiah Al Nadzir Awwalun berjemaah tak sampai 10 orang 

KANGAR: Selain menyambut Aidilfitri dua hari lebih awal daripada umat Islam di Malaysia, kumpulan Jamiah Al Nadzir Awwalun yang aktif di Perlis dikatakan bersolat Jumaat bersendirian sesama mereka di bangunan kedai yang dijadikan surau di sini, sejak beberapa tahun lalu.Salah seorang pengikut ahli kumpulan terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata, ketua kumpulan, Shuit Ismail, 51, yang didakwanya mempunyai ilmu tinggi dalam agama bertindak sebagai khatib serta imam bagi solat Jumaat.
“Kami solat Jumaat yang diimamkan Shuit dan jumlahnya tidak ramai, tidak sampai 10 orang. Shuit membaca khutbah yang dikarangnya sendiri yang mana kandungannya berunsur peringatan dan perkembangan kehidupan dunia Islam sekarang. 

“Semua ahli khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan Shuit di surau kami di sini. Saya secara peribadi mengakui begitu tenang selepas menyertai kumpulan terbabit sejak 2005 lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya perbuatan bersolat Jumaat di luar masjid ditetapkan dan tidak mencukupi 40 jemaah salah di sisi agama dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa agama negeri. 

Pengikut berusia lewat 40-an itu berkata, pada 8 September lalu, beliau turut merayakan sambutan Aidilfitri tetapi tidak sempat bersolat sunat pada pagi itu bersama ahli kumpulan kerana sibuk dengan urusan perniagaan. 
“Saya mengakui ditegur oleh isteri yang kehairanan melihat kami menyambut Aidilfitri dua hari lebih awal. Kami berpuasa dua hari lebih awal daripada ditetapkan pemerintah,” katanya. 

Katanya, sebahagian besar pengikut kumpulan terbabit di Dumai, Indonesia turut merayakan Aidilfitri pada tarikh sama. 

Pada 8 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kangar menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau empat bulan penjara terhadap Shuit selepas didapati bersalah merayakan Aidilfitri lebih awal daripada ditetapkan kerajaan. 

No comments:

Post a Comment