Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Tahanan reman lima suspek dilanjut seminggu

KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman lima suspek yang disyaki terbabit kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain disambung untuk seminggu lagi mulai semalam.
Ini kali ketiga tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan.
Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Ahmad Shakib Ismail dan dibuat di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil di sini, iaitu tempat semua suspek terbabit ditahan.

Lanjutan tahanan reman ke atas kelima-lima lelaki yang berusia 20-an hingga 30-an yang berakhir semalam bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu. Sementara itu, tempoh tahanan reman tiga lagi termasuk dua peguam adik-beradik yang dipercayai suspek utama pembunuhan akan berakhir hari ini.

Sebelum ini, Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan kepada polis kerana berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan.

Beberapa arahan baru turut diberikan kepada polis termasuk meminta polis menyiasat lanjut kes lain yang mempunyai kaitan dengan suspek pembunuhan Sosilawati. Ini termasuk ahli perniagaan India, Allal Kathan Muturaja yang dilaporkan hilang oleh isterinya serta seorang ahli perniagaan tempatan, Mohd Shafik Abdullah, 37, yang dilaporkan hilang sejak April lalu selepas dipercayai berurusan dengan suspek utama.

Polis sebelum ini mengesahkan kedua-dua mangsa turut dipukul sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor berdasarkan pengakuan suspek.

No comments:

Post a Comment