Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Polis tak tutup fail siasatan

BANTING: Satu kes pembunuhan yang berlaku di Taman Seri Cempaka, di sini tahun lalu dipercayai dilakukan seorang remaja berusia 19 tahun selepas mendapat arahan daripada suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang juga peguam berusia 41 tahun itu dipercayai terbabit secara langsung dengan pembunuhan berkenaan.
Katanya, polis tidak pernah menutup kertas siasatan kes dilaporkan tahun lalu itu namun menghadapi kesukaran apabila tidak menemui sebarang petunjuk kepada siasatan awal kes itu.

“Ketika menerima laporan awal, kami tidak dapat menemui petunjuk namun apabila kes pembunuhan Sosilawati dilaporkan, kami menemui petunjuk baru dan akan meneruskan siasatan kes itu,” katanya.

Sementara itu, satu lagi kes membabitkan seorang jutawan India juga mempunyai kaitan dengan suspek utama namun laporan mengenainya hanya dibuat pada 8 September baru-baru ini.

Katanya, polis menjalankan siasatan mendapati kes itu ada kaitan dengan suspek.

Menurutnya, walaupun kes kehilangan berkenaan dilaporkan berlaku awal tahun ini, pihaknya tidak mengetahui mengenainya apabila tiada sebarang laporan polis dibuat berkenaan kes itu. Katanya, pihaknya tidak dapat mengetahui orang hilang jika tidak dimaklumkan dan tiada laporan dibuat jadi orang ramai perlulah melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada antara ahli keluarga mereka hilang.

Khalid berkata, beliau juga tidak pernah menerima sebarang aduan mahupun permintaan daripada Kedutaan India bagi menyiasat kes berkenaan dan baru memulakan siasatan kerana laporan mengenai kehilangan jutawan India itu baru dilaporkan.

Jutawan dari Chennai, Allal Kathan Muthuraja, 34, dilaporkan hilang pada 18 Januari lalu selepas menemui suspek di Banting, namun laporan polis mengenai kehilangannya hanya dibuat 8 September lalu.

No comments:

Post a Comment