Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Polis buka kembali 2 kertas siasatan

KUALA LUMPUR: Polis membuka kembali dua kertas siasatan yang berkaitan pembunuhan oleh individu yang tidak dikenali sekitar kawasan Banting sejak tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kes berkenaan disiasat semula berikutan kematian yang menjurus ke arah pembabitan suspek utama, peguam bergelar Datuk yang dipercayai terbabit dalam kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47 dan tiga lelaki lain. “Kes pertama membabitkan kematian seorang wanita berusia 40-an yang dibunuh di hadapan rumah suspek pada tahun lalu. Mangsa ditikam beberapa kali oleh individu yang tidak dikenali,” katanya. Menurutnya, polis juga membuka siasatan berikutan kehilangan seorang ahli perniagaan dari Chennai, India, juga di kawasan Banting. Sementara itu, menurut isteri mangsa berkenaan yang dikenali S Usharani, 24, beliau bersedia datang ke Malaysia bagi memberikan keterangan jika diperlukan.
Sementara itu dalam satu perkembangan lain, empat daripada lapan suspek yang ditahan dalam kes pembunuhan Sosilawati bersama tiga lelaki lain sudah diserahkan kepada polis Gombak berikutan mereka disyaki turut mempunyai kaitan dalam satu kes pembunuhan di daerah terbabit yang berlaku 8 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, semua suspek itu diserahkan oleh polis Bukit Aman untuk disoal siasat bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pekerja di Unit Perancangan Setinggan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Menurutnya, bagaimanapun semua itu masih dalam siasatan dan pihaknya tidak pasti sejauh mana semua mereka terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Beliau berkata, sejauh mana pembabitan suspek dalam kes berkenaan atau benar mereka terbabit belum dapat dipastikan kerana ia masih dalam siasatan.

“Memang ada empat daripada lapan suspek yang ditangkap berhubung kes pembunuhan Sosilawati dan tiga lelaki diserahkan kepada kami untuk membantu siasatan kes pembunuhan kakitangan MPS pada 8 Mac lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment