Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Mahu ujian di luar negara

BATU PAHAT: “Kami akan tetap lakukan ujian Deoxyribonucleic Acid (DNA) buat kali kedua di luar negara selepas ini,” tegas Masturi Lawiya, 42, adik kepada jutawan kosmetik yang dipercayai mati dibunuh, Datuk Sosilawati Lawiya, di sekitar Ladang Kelapa Sawit Tanjong Sepat, Selangor, baru-baru ini.
Masturi berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan hasil ujian DNA yang masih lagi dalam siasatan polis sejak kes terbabit terbongkar.
Katanya, sehingga kini ahli keluarga jutawan itu belum menerima sebarang keputusan rasmi berkaitan hasil ujian dijalankan.

“Sehingga hari ini (semalam), kami masih lagi menunggu keputusan ujian DNA itu di samping tidak putus-putus berdoa mengharap dia (Sosilawati) masih lagi hidup.

“Walaupun jika ujian DNA menunjukkan ia positif, kami sekeluarga nekad mahu ujian itu diadakan buat kali kedua,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Hidayah Kampung Seri Menanti di sini, semalam.

Masturi berkata ujian DNA kali kedua selepas ini akan diadakan di luar negara sama ada Singapura atau Thailand.

Menurutnya, ahli keluarga tidak berniat mempertikaikan hasil ujian DNA yang dijalankan, namun keputusan berkenaan dibuat atas kehendak keluarga.

“Bagaimanapun saya yakin Sosilawati masih lagi hidup dan selamat dan dia mungkin disembunyikan di lokasi lain,” katanya.

Pada masa sama, Masturi turut mengatakan ahli keluarganya bersiap sedia mengadakan upacara pengebumian jutawan berkenaan dan mereka menunggu hasil keputusan DNA yang dijalankan polis.

“Dia dikebumikan di kampung ini, berikutan permintaan keluarga termasuk penduduk setempat tetapi selepas itu kami jalankan ujian DNA di luar negara pula,” katanya.

Beliau ditemui ketika bersama 100 penduduk kampung berkenaan mengadakan Majlis Solat Ghaib di Surau Al-Hidayah Kampung Seri Menanti sebagai tanda penghormatan terakhir kepada jutawan yang disifatkan penduduk tempatan sebagai dermawan.

No comments:

Post a Comment