Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Kes bunuh Sosilawati: 'Hukuman maksimum'

KUALA LUMPUR: “Pembunuh yang melakukan perbuatan kejam itu wajar menerima hukuman maksimum dan kes ini perlu diselesaikan secepat mungkin,” kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika diminta mengulas berhubung kes pembunuhan kejam terhadap jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya yang lain.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyifatkan tragedi yang menyentuh perasaan masyarakat itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Terbaru saya membaca akhbar berhubung mereka disembelih sebelum dibakar, sukar untuk dibayangkan betapa kejam dan tidak menyangka budaya keganasan ini akan berlaku di negara ini,” katanya selepas menghadiri majlis bacaan Yasin di kediaman keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri 500 ahli Pergerakan Wanita Umno, penduduk setempat dan anak kepada pemandu peribadi Kamarudin Samsudin, Balqis Dayana, 12.

Shahrizat berkata, perbuatan kejam pembunuh yang sanggup menyembelih dan membakar mangsa tidak harus dimaafkan dan perlu menerima hukuman setimpal.

“Saya amat berterima kasih kepada pasukan polis yang gigih mengumpulkan maklumat berhubung kejadian bunuh itu dan berjaya menahan semua suspek sehingga membawa kepada penemuan beberapa bukti bagi memudahkan kes ini diselesaikan dengan cepat.

“Wanita Umno akan terus memantau kes ini sehingga suspek dibawa ke muka pengadilan. Selepas semua bukti jelas dan nyata, suspek perlu segera dibicarakan di mahkamah dan hukuman maksimum perlu dijatuhkan secepat mungkin. Tidak boleh tunggu lagi kerana bimbang budaya keganasan ini seolah-olah tiada kesudahan,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu membuka mata masyarakat dan menolak budaya keganasan berlaku di negara ini, malah semua pihak mengecam perbuatan jenayah daripada terus berleluasa.

Dalam sidang akhbar itu, beliau berkata, tanggungjawab memerangi jenayah bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa, tetapi perlu bermula daripada keluarga dan masyarakat. Menurutnya, pembabitan seorang suspek yang mempunyai latar belakang profesional dalam kes berkenaan amat mengejutkan.

“Seorang yang bergelar Datuk dan bekerjaya peguam melakukan perbuatan terbabit layak dipanggil keji. Pendapat saya, seorang yang profesional tidak sepatutnya melakukan perbuatan jenayah. Malah, perbuatan kejam di kalangan profesional sebenarnya tidak bagus untuk masyarakat,” katanya.

Beliau turut melahirkan perasaan kesal apabila ada segelintir masyarakat mengaitkan kes pembunuhan itu dengan isu politik perkauman.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC T Mohan menganggap mereka yang melakukan jenayah kejam itu lebih zalim daripada binatang.

“Kami terkejut ada rakyat Malaysia yang sanggup melakukan kekejaman melampau, pembunuhan ngeri sebegini. Ini bukan budaya kita dan ini sangat mengganggu fikiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohan berharap polis akan menjalankan siasatan terperinci dan menghadapkan penjenayah terbabit ke muka pengadilan dengan segera bagi memastikan keadilan kepada mangsa.

No comments:

Post a Comment