Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Dikebumi sebelah pusara kakak sulung

BATU PAHAT: Jenazah jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, akan dikebumikan bersebelahan pusara kakak sulungnya, Saniah, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Menanti, Sri Medan.
Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata, persediaan dilakukan keluarganya bagi memastikan jenazah dapat dikebumikan bersebelahan pusara Saniah.
Katanya, keputusan membawa pulang jenazah selepas mengambil kira pandangan anak Sosilawati dan adik-beradiknya serta kemudahan semua pihak menziarahit jenazah.

“Setidak-tidaknya adik-beradik Sosilawati ada di sini, selain itu anaknya kerap pulang kampung menziarah ibu mentua, Yatmah Abdul Rahman, 80, jadi ia dilihat lebih memudahkan semua pihak.

“Jenazah dikebumikan di sebelah pusara Saniah yang meninggal dunia akibat kanser, April lalu. Bagaimanapun, semua urusan dilakukan selepas mendapat pengesahan Asid Deoksiribonukleik (DNA),” katanya.

Semalam, sepasukan tujuh anggota dan pegawai termasuk seorang pegawai perubatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, datang ke rumah Misjan bagi mengambil contoh DNA ibu jutawan berkenaan.

Difahamkan, antara contoh DNA diambil termasuklah darah dan rambut bertujuan membuat perbandingan dengan cebisan daging dan abu yang ditemui di Banting, Selangor.

Sementara itu, tinjauan di rumah Misjan mendapati orang ramai berpusu-pusu menziarah keluarga Sosilawati sempena cuti umum sambutan Hari Malaysia.

Mereka yang datang termasuk dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur tidak melepaskan peluang memberikan sokongan moral kepada keluarga berkenaan.

No comments:

Post a Comment