Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Aset suspek utama RM250j dibeku

BANTING: Aset suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya bernilai RM250 juta dipercayai sudah dibekukan untuk membolehkan polis menyiasat punca kekayaan melampau yang dimilikinya sama ada secara sah atau sebaliknya.
Rakan suspek yang juga seorang ahli perniagaan berkata, pembekuan aset itu dibuat selepas polis memeriksa akaun peribadi milik suspek selepas dia ditahan pada 9 September lalu.
Katanya, dia tidak mengetahui bagaimana suspek mampu mengumpul harta sebanyak itu walaupun sudah tiga tahun berkenalan dengannya.

Sebelum ini, Harian Metro difahamkan harta atau aset berkenaan merangkumi hartanah seperti bangunan komersial, ruang pejabat, stesen minyak, kilang , rumah mewah, ladang, kereta mewah, kedai makan, pusat penternakan dan lot tanah di beberapa negeri lain.

Menurutnya, sebelum ini, dia tidak pernah mengetahui kekayaan melampau milik suspek, selain mengetahui dia seorang peguam dan memiliki beberapa rumah sewa di sekitar Banting.

Beliau yang pernah menyewa rumah kedai milik bapa suspek juga percaya rumah kedai berkenaan dimiliki suspek namun mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nama bapanya.

Difahamkan, kebanyakan harta suspek tidak didaftarkan atas namanya sebaliknya menggunakan nama rakan dipercayainya serta keluarga bagi mengelak daripada diketahui umum.

“Saya mengenali suspek apabila diperkenalkan seorang rakan yang juga seorang ahli perniagaan tiga tahun lalu dan suspek kadangkala datang ke rumah saya untuk berborak.

“Suspek cepat mesra dan ini mungkin strateginya memerangkap mangsanya sebelum ditipu,” katanya.

Malah, suspek sering membawa klien atau mangsanya ke restoran berhampiran di bandar ini bagi menghibur serta melayan mangsanya, malah dia pernah dibawa ke restoran itu.

Katanya, suspek menggunakan statusnya sebagai peguam bagi menipu ahli perniagaan serta ahli politik.

No comments:

Post a Comment