Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Kereta ditemui di Subang Jaya

Anak yakin ibu dalam negara
KUALA LUMPUR: Kereta mewah milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dinaikinya sebelum dilaporkan hilang sejak sembilan hari lalu ditemui ditinggalkan di luar Pangsapuri Angsana di USJ1, Subang Jaya, dekat sini, malam tadi.
Kereta BMW X5 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WTL11 itu ditinggalkan di tempat berkenaan kira-kira jam 9.45 malam, tetapi nasib jutawan berkenaan belum diketahui.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mendedahkan identiti dan gambar tiga lagi individu yang dilaporkan turut hilang bersama Sosilawati pada hari dia didakwa pergi ke Banting, Selangor, atas urusan jual beli tanah. Menurutnya, peguam yang hilang berkenaan dikenal pasti sebagai Ahmad Kamil Karim, 32, yang menaiki kereta berasingan model BMW 525i berwarna biru dengan nombor pendaftaran AAJ5.

Keretanya ditemui kira-kira jam 10 malam di SS15, Subang Jaya, berdekatan sebuah hotel.

“Individu ketiga yang hilang ialah pegawai bank yang juga penasihat kewangan Sosilawati iaitu Noorhisham Mohammad, 38, selain pemandu peribadi mangsa, Kamarudin Shansudin, 44.

“Waris keempat-empat mangsa yang hilang sudah membuat laporan rasmi kepada polis. Semua keluarga mangsa sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan semua individu itu diminta menghubungi balai polis berhampiran segera.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sehingga kini pihaknya belum dapat memastikan sama ada dia diculik atau sebaliknya dan masih menyiasat lebih terperinci.

“Siasatan masih dilakukan polis Kuala Lumpur dan mengumpul segala maklumat dari keluarga mereka yang hilang.

“Polis juga mendapatkan maklumat dari semua panggilan telefon yang dibuat, malah panggilan terakhir yang dilakukan mereka,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau meminta orang ramai melaporkan kepada polis jika mempunyai sebarang maklumat berkenaannya.

No comments:

Post a Comment