Search This Blog

Monday, September 13, 2010

Keluarga Kamaruddin adakan solat sunat ghaib

KUANTAN: Keluarga Kamaruddin Shansuddin, pemandu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, malam tadi mengadakan solat sunat ghaib di rumah mereka di Bandar Indera Mahkota 2, di sini, selepas dimaklumkan penemuan tragis keempat-empat mangsa bunuh yang dibakar dan dibuang abunya ke dalam sungai.
Abang ipar mangsa, Ismail Ibrahim, 56, berkata, anggota keluarga mereka yang berada di Mekah bagi menunaikan umrah ketika ini turut mendirikan solat sunat ghaib di Tanah Suci itu sebaik menerima berita berkenaan.
"Solat sunat ghaib dibuat malam tadi selepas semua ahli keluarga yakin berdasar hasil siasatan awal pihak polis dan mula menerima bahawa sisa mayat yang dibakar itu adalah Kamaruddin bersama majikan serta dua rakan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Polis semalam mengesahkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Dua lagi mangsa adalah pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Ismail berkata, keluarga dan sanak-saudaranya turut mengadakan majlis tahlil selama tiga malam berturut-turut bermula semalam.

"Kami mendoakan rohnya tenang. Semua keluarga bersedih dan masih belum memahami apa yang sebenarnya terjadi kepada arwah," katanya sebak.-Bernama

No comments:

Post a Comment