Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

'Kak Ida' terus licik menipu

AMPANG: Seorang wanita yang licik menipu ramai wanita berkerjaya dan pemilik perniagaan termasuk penyanyi, Deja Moss dikesan masih aktif menjalankan kegiatannya.
Malah, wanita beranak tiga itu dengan lagak gayanya seperti orang kaya akan melarikan diri sejurus memperoleh wang mangsa.
Dalam kes terbaru, wanita berkenaan memperdaya dua pemilik salun di Ampang.

Bagaimanapun, dalam kes itu, wanita berkenaan dikenali sebagai Kak Ida, 46, ‘berlakon’ sebagai seorang peguam syariah dan pemilik syarikat pengiklanan sebelum memperdaya mangsa membabitkan kerugian lebih RM35,000.

Dalam kes pertama, seorang mangsa yang juga pemilik salun kerugian RM25,000 selepas diperdaya wanita berkenaan yang meminjam wangnya.

Mangsa dikenali sebagai Shanty, 48, berkata, wanita itu pelanggan tetapnya yang dikenalinya tujuh tahun lalu dan dia tidak menyangka dia penipu besar.

Wanita itu menyatakan mengalami kesempitan wang dan meminta meminjam daripada mangsa dan berjanji membayarnya kembali selepas masalahnya selesai.

Mangsa mula meminjamkan wang kepada wanita itu sejak Mei tahun lalu dan hingga kini sudah lebih 10 kali transaksi dibuat ke akaun wanita berkenaan membabitkan lebih RM25,000.

Katanya, dia memasukkan RM1,500, RM2,000, RM3,000, dan RM5,000 secara berperingkat-peringkat ke dalam akaun wanita berkenaan melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tidak tahu mengapa dia begitu bodoh mempercayai wanita itu.

Mangsa tahu dia ditipu apabila wanita berkenaan sering memberikan pelbagai alasan apabila diminta menjelaskan hutang, tetapi masih meminjamkan wang kerana simpati berikutan wanita itu mengadu banyak masalah. Shanty berkata, dia serba salah meminta hutang apabila wanita berkenaan pernah berjanji dengannya pada Disember tahun lalu untuk memasukkan anaknya belajar di Universiti Malaya (UM), malah wanita itu turut memalsukan surat tawaran dan menggunakan kepala surat universiti berkenaan bagi meyakinkannya.

Katanya, wanita itu turut pernah memalsukan surat projek menggunakan nama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan menerima bayaran RM180,000 daripada rakan mangsa.
Seorang lagi mangsa yang juga rakan kepada Shanty, Zalina, 38, berkata, dia didatangi wanita berkenaan di salunnya Januari lalu dengan memperkenalkan diri sebagai pemilik syarikat pengiklanan di ibu kota dan menawarkan pelaburan yang menguntungkan kepadanya.

Katanya, wanita itu memberitahu sekiranya dia melabur RM3,500 hasil pulangan sebanyak RM20,000. Disebabkan itu, dia melabur RM10,500 dan wanita terbabit berjanji memberikannya wang RM60,000 pada Februari lalu sebelum menghilangkan diri. Mangsa memasukkan wang ke dalam akaun wanita itu tiga kali pada Januari lalu berasa tertipu apabila panggilannya sehingga kini tidak pernah terjawab wanita berkenaan.

Kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya akhir bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

No comments:

Post a Comment