Search This Blog

Sunday, September 12, 2010

Kabel TNB terbakar punca sesak




GEORGETOWN - Ribuan kenderaan terkandas lebih empat jam di atas Jambatan Pulau Pinang akibat kebakaran kabel bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kilometer 1.5 menghala ke pulau . 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.02 pagi itu turut menyebabkan aliran trafik menghala keluar dan masuk ke pulau, sesak sepanjang lebih 10 kilometer, selain lorong kanan di kedua-dua arah ditutup. 

Naib Presiden Bahagian Pembekalan TNB, Rozaimi Remeli berkata, kebakaran itu melibatkan tiga litar berkuasa 132 kilowatt di bawah jambatan berkenaan. 

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Gelugor, Bayan Lepas dan sebahagian kawasan di Georgetown mengalami gangguan elektrik selama dua minit. 

“Penduduk Pulau Pinang bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana kebakaran kabel ini tidak akan menjejaskan penyaluran tenaga elektrik ke kawasan pulau. 

“Kita mempunyai sumber penjanaan elektrik di tiga saluran jana kuasa lain yang mampu membekalkan tenaga elektrik secukupnya. Saya berharap rakyat Pulau Pinang dapat meraikan Aidilfitri dengan tenang dan selesa,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian semalam. 

Rozaimi berkata, selain sumber tenaga dari Seberang Perai, negeri itu turut menerima bekalan dari stesen jana kuasa di Gelugor dan di Juru. 

Menurutnya, kebakaran kabel elektrik itu adalah kejadian kedua selepas ia berlaku pada Jun 1995. 

“Pada kejadian pertama, kita terpaksa mengambil selama 10 hari untuk memperbaiki kabel-kabel yang rosak namun dalam kejadian ini, saya berharap orang ramai tidak bimbang kerana kita mempunyai kelengkapan yang canggih untuk menangani masalah ini. 

“Pihak TNB akan bekerjasama dengan Jambatan Pulau Pinang dan Polis Trafik untuk mendapatkan masa yang sesuai bagi memperbaiki kabel-kabel yang rosak itu dan ia tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa kerana kejadian ini tidak memberi kesan terhadap penyaluran elektrik ke kawasan pulau,” katanya.

No comments:

Post a Comment