Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

JKM serbu lubuk pengemis asing




BEBERAPA pengemis asing ditahan dalam operasi JKM di Pasar Keramat, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) bertindak menggempur pengemis asing di empat lokasi bazar Ramadan sekitar ibu kota semalam.
Operasi yang berlangsung selama enam jam itu tertumpu di Pasar Keramat, Bazar Ramadan Tasik Titiwangsa, Sentul serta pasar malam Pantai Dalam dan seramai lima pengemis warga asing berjaya ditahan.
Kesemua pengemis terbabit terdiri daripada seorang lelaki warga Vietnam, seorang wanita warga Kemboja serta dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar.
Bagaimanapun usaha untuk menahan pengemis di pasar malam Pantai Dalam menemui kegagalan kerana ada pihak telah menghidu kehadiran pihak berkuasa.
Menurut Timbalan Pengarah 2 JKMWPKL, Jabar Puteh Mahadi, (gambar) dua orang pengemis iaitu masing-masing seorang warga Vietnam dan Kemboja telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
“Dua orang perempuan warga Myanmar termasuk kanak-kanak yang mempunyai status UNHCR (Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian) ditempatkan selama 30 hari di Desa Bina Diri Kuala Kubu Bharu,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan tentang kewujudan sindiket pengemis warga asing bermodalkan anak-anak kecil serta berlakon mengalami kecacatan serius kini menguasai lorong-lorong di pasar malam serta bazar Ramadan di Lembah Klang untuk menagih simpati orang ramai.

No comments:

Post a Comment