Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Jiran ditahan bantu kes bunuh ustazah, anak lelaki



TELUK KEMANG 6 Sept. - Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis berhubung kes pembunuhan seorang ustazah, Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di Jalan Sutera Lama, Port Dickson, dekat sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, lelaki itu yang dipercayai jiran mangsa ditahan berhampiran tempat kejadian semalam, bagi membantu siasatan kes tersebut.
Katanya, lelaki berkenaan yang mempunyai dua anak dan menyewa di kawasan flat sama sejak beberapa tahun lalu, kini ditahan reman sehingga Jumaat ini.
Tambahnya, siasatan sedang dilakukan termasuklah mengenal pasti sepenuhnya identiti serta latar belakang lelaki berkenaan.
"Kita difahamkan lelaki itu tidak bekerja dalam tempoh yang lama dan kita sedang menyiasatnya," katanya di Port Dickson, dekat sini hari ini.
Baljeet bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada mangsa telah diperlakukan jenayah seksual.
"Kita tidak dapat mengesahkan lagi perkara ini dan saya harap tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung dakwaan berkenaan.
"Lagipun laporan penuh perubatan terhadap mangsa masih belum diperoleh. Beri kami masa untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini," tegasnya.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Norliza dan Amirul Ayman ditemui mati dibunuh dalam keadaan kaki dan tangan terikat serta kepala mangsa dibalut dengan kain sarung dalam bilik air sebuah flat di Jalan Sutera Lama, dekat sini.
Norliza yang merupakan ustazah di Sekolah Kebangsaan Port Dickson dan anaknya belajar di sekolah yang sama, sepatutnya pulang berhari raya di Kelantan, Sabtu lalu, ditemui mati oleh rakannya.
Pihak polis percaya kejadian itu berlaku pada pukul 4 hingga 5 petang berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula lebam dan ketika ditemui, kedua-dua mayat berkenaan berada dalam keadaan terlentang.
Norliza yang berasal dari Kampung Pulau Kerbau, Palek Bang, Kelantan hanya tinggal bersama anaknya itu kerana suaminya, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, sedang menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir.
Ditanya mengenai barangan yang didakwa hilang oleh bapa Norliza, Ishak Mohd. Isa termasuklah wang tunai, komputer dan telefon bimbit di flat berkenaan, Baljeet memberitahu, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan.
Katanya, kes itu disiasat di Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh

No comments:

Post a Comment