Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Isytihar Abu Sayyaf pengganas: Manila





2010/09/07

MANILA: Kerajaan Filipina mahukan sebuah mahkamah mengisytiharkan Abu Sayyaf sebagai sebuah kumpulan pengganas dan menyenarai hitam lebih 200 pejuang pemisah yang disalahkan dalam pengeboman, penculikan dan pembunuhan sejak dua dekad lalu. 

Jabatan Kehakiman baru-baru ini menghantar petisyen terhadap kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda dengan perbicaraan mahkamah di wilayah selatan Basilan, tempat kelahiran Abu Sayyaf, dalam cubaan pertama kerajaan untuk mengharamkan sebuah kumpulan pemisah di bawah undang-undang antikeganasan 2007.
Ahli Abu Sayyaf pada masa ini tidak dapat ditahan kecuali mereka terbukti melakukan jenayah.

Jika berjaya, langkah berkenaan akan menjadikan keahlian Abu Sayyaf sebagai perbuatan jenayah dan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan membekukan aset kewangan militan dan membataskan perjalanan mereka. 

Ia akan menjadi sebagai satu senjata perundangan baru menentang kumpulan itu, kata pendakwa, Nestor Lazaro. 

Lebih 200 nama yang ditambah dalam senarai hitam adalah ahli kumpulan yang setakat ini dikenal pasti daripada seramai 400 ahli yang menyertai kumpulan terbabit. 
Pendakwa lain, Al Calica, berkata pihak berkuasa mampu untuk mendapatkan kebenaran mahkamah lebih cepat bagi memantau perbualan telefon dan memeriksa akaun bank pengganas yang disenarai hitam terbabit. 

Ini akan membantu melumpuhkan kumpulan berkenaan, kata Lazaro kepada Associated Press. 

Abu Sayyaf yang diasaskan pada 1991 bukan hanya menjalankan serangan tempatan tetapi turut menjalankan kerjasama dengan militan asing merancang dan melakukan serangan di luar negara, kata petisyen terbabit. 

Ia dilaporkan memberikan perlindungan kepada suspek pengganas Indonesia termasuk Dulmatin, suspek utama dalam kejadian pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang dibunuh pihak polis pada Mac lalu di Indonesia. AP

No comments:

Post a Comment