Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Ibu harap temui anak di Aidilfitri



Oleh Haika Khazi

2010/09/07

SEPANG: Sebagai ibu, saya tetap berharap dapat bertemu anak-anak di Aidilfitri ini, walaupun kami sekarang menganut agama berbeza. 

"Saya juga sudah lama memaafkan segala kesalahan mereka termasuk tidak menziarahi saya ketika terlantar selama lebih setahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kemalangan jalan raya," demikian rintihan seorang ibu, Khatijah Mageshwari Abdullah, 53, yang terpisah dengan anak dan keluarganya selepas memeluk agama Islam, sejak lebih dua tahun lalu.
Beliau adalah seorang daripada 30 penghuni Pusat Rawatan dan Jagaan Orang Tua al-Ikhlas, Pulau Meranti di sini, yang diuruskan jururawat Hospital Serdang, Muji Sulaiman, 50, secara sukarela.
Khatijah berkata, beliau juga berdoa kepada Allah supaya dipertemukan dengan 
anak-anaknya walaupun tidak berdaya untuk bergerak kerana lumpuh daripada paras pinggang ke bawah dan terpaksa dipapah untuk mengambil wuduk.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana Allah membuka pintu hatinya untuk memeluk agama Islam selepas membantu kakaknya Saleha, 55, membaca terjemahan al-Quran.

Malah, Khatijah berkata beliau bersyukur kerana diambil Muji untuk menjadi penghuni rumah kebajikan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun tiada keluarga di situ, 
hatinya bertambah tenang dan berasa lebih dekat dengan Allah selepas berpindah ke pusat itu, awal tahun ini.

Ditanya pesanannya untuk anak-anak sempena Aidilfitri ini, Khatijah berkata:

"Mak tidak kisah jika kamu tak nak ajak mak tinggal bersama asal kita dapat bertemu pada hari raya ini." 

Naluri ibu tidak pernah lekang daripadanya kerana doa untuk kesejahteraan anak-anak tidak pernah dilupakan setiap kali selepas solat.

"Walaupun mereka tidak pernah menjenguk saya di sini, saya tetap mendoakan kesejahteraan dan berharap mereka sentiasa bahagia bersama keluarga masing-masing," katanya mengubat rindu terhadap anak-anaknya dengan menumpang kasih ahli keluarga Muji dan penghuni rumah kebajikan lain yang sering ke situ. 

Malah, Khatijah berkata, beliau tidak mengharapkan apa-apa bantuan, tetapi sekadar mahu berjumpa anak-anaknya pada hari lebaran ini.

Seorang lagi ibu tua, Rahmah Abdullah, 70, berkata beliau berharap dapat bertemu dengan anak lelakinya dikenali sebagai Mohd Ali Bakhtiar yang dipercayai kini menetap di Danau Kota, Kuala Lumpur.

"Saya berharap Mohd Ali Bakhtiar sudi memaafkan jika saya ada melakukan kesalahan dan kesilapan terhadapnya suatu ketika dulu. Tolong datang jemput, mak tidak mahu mati di sini seorang diri," katanya.

No comments:

Post a Comment