Search This Blog

Sunday, September 5, 2010

Hanya jasad Norliza, Amirul yang pulang




ZAINAB bersama suaminya, Ishak melihat gambar Norliza dan Amirul Ayman di rumah mereka di Kampung Pulau Kerbau, Tumpat semalam. Gambar kecil, Mohd. Yusof terlalu sedih ketika menyaksikan jenazah Norliza dan Amirul Ayman dikebumikan.


TUMPAT - Suami Norliza Ishak yang ditemui mati dibunuh bersama anaknya, Amirul Ayman Mohd. Yusof di flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson kelmarin sempat pulang bagi menyaksikan jenazah kedua-dua insan yang disayanginya itu buat kali terakhir sebelum dikebumikan.
Mohd. Yusof Awang Besar, 37, yang bergegas pulang dari Kaherah, Mesir tiba di Kota Bharu kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.
Bagaimanapun dia yang masih terkejut dan sedih dengan insiden kematian dua beranak itu kelihatan tidak dapat menahan sebak di atas tragedi yang berlaku enggan ditemu bual.
Difahamkan Mohd. Yusof berniaga kedai makan di bandar raya Kaherah selepas menuntut di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin dan berkahwin dengan Allahyarham ketika belajar di sana.
Sementara itu, jenazah Norliza dan Amirul Ayman yang tiba dari Hospital Port Dickson di Hospital Tumpat pada pukul 6 pagi semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang di sini petang ini.
Ibu Allahyarham Norliza, Zainab Mahmud, 53, berkata, anak sulungnya itu merupakan tempat keluarga bergantung hidup kerana banyak membantu adik-adiknya yang seramai 14 orang.
"Setiap tahun, dia yang akan membeli pakaian raya untuk adik-adiknya di kampung yang masih bersekolah," katanya.
Menurut Zainab, kebiasaannya adik-adik Norliza tidak sabar-sabar menunggu kepulangan kakaknya untuk melihat pakaian baru mereka yang akan dipakai pada Hari Raya Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment