Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Empat rentung termasuk suami isteri dan anak selepas kereta rempuh lori

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat yang terperangkap dalam kereta Proton Pesona 
yang dinaiki empat mangsa rentung termasuk seorang bayi selepas melanggar sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di KM394 Lebuhraya Utara Selatan dekat Behrang, kira-kira jam 8.30 pagi ini.  (15/09/10)
KUALA LUMPUR: Empat orang, termasuk suami isteri dan anak lelaki mereka, rentung apabila kereta jenis Proton Persona yang dinaiki terbakar selepas terbabas dan melanggar bahagian belakang lori di Kilometer 394, Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.05 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan mahu pulang ke rumah di Kota Damansara selepas menghabiskan cuti sempena Aidilfitri di Alor Setar, Kedah.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Azri Ismail, 27, yang juga pemandu kereta, isterinya Suzita Abu Bakar, 25, yang duduk di sebelah pemandu bersama anak mereka, Mohd Amar Haikal, berumur 25 bulan dan seorang lagi yang dipercayai rakan mereka, Mohd Hasnizam Abdul Mutalib, 20, di tempat duduk penumpang belakang.

Jurucakap Trafik Selangor berkata, kereta itu dipercayai dipandu laju dan tidak menolak kemungkinan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk berikutan perjalanan yang jauh dari utara.

Difahamkan, mereka bertolak dari Alor Setar selepas Subuh dan ketika sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu itu hilang kawalan dan kemudian merempuh belakang sebelah kiri lori membawa muatan pasir yang sedang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan di rim tayar.

Jurucakap itu berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan kereta terbakar dan kesemua mangsa gagal menyelamatkan diri.

Sementara itu, pemandu lori itu, T Ramathas, 37, berkata kejadian itu berlaku terlalu pantas sebaik selepas beliau memberhentikan kenderaannya.

Katanya, beliau dalam perjalanan dari Sungkai ke Sungai Buloh untuk menghantar pasir dan terpaksa berhenti di lorong kecemasan kerana menghadapi masalah rim tayar.

"Sampai di sana, saya terus letak kon dan penanda segi tiga kecemasan serta menghubungi pihak Plus untuk mendapatkan bantuan. Tidak sampai tiga minit, saya nampak sebuah kereta meluru dan melanggar belakang lori dan kereta itu terus terbakar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, beliau melihat dalam kereta itu terdapat empat orang iaitu pemandu lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak lelaki di tempat duduk hadapan dan seorang lagi lelaki di tempat duduk belakang.

Ramathas berkata, beliau cuba memanggil kesemua mangsa sebaik berlaku kemalangan tetapi tidak mendapat respons.

No comments:

Post a Comment