Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Empat anggota geng pecah rumah ditahan

KUALA LUMPUR: Polis yakin dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah ekoran penangkapan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan ''Shah'' dalam empat serbuan berasingan, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kesemua suspek yang berumur lingkungan 20-an itu berasal dari Cheras, Petaling Jaya dan Pahang serta kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan.
Beliau berkata suspek pertama ditangkap kira-kira jam 9.30 pagi semalam di dalam sebuah kereta jenis Proton Satria di hadapan sebuah pejabat di Sepang.

"Ketika serbuan suspek bertindak keluar dari kereta, namun polis berjaya menahannya dan hasil pemeriksaan, didapati kereta yang dinaikinya menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata hasil penangkapan suspek pertama itu, polis menahan suspek kedua kira-kira pukul 11 pagi di Jalan Pandan Indah, Ampang.

"Siasatan awal mendapati suspek yang berumur 25 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu mempunyai lima rekod jenayah lampau iaitu pecah rumah," katanya.

Katanya, ekoran penangkapan kedua-dua suspek itu, polis menjejaki suspek ketiga di sebuah pasar raya di Jalan Tan Cheng Lock 45 minit kemudian dan berjaya menangkapnya walaupun dia cuba melarikan diri.

"Siasatan ke atas suspek mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah iaitu mencuri. Suspek keempat pula ditahan di Taman Desa Indah Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan dua jam kemudian," katanya.

Wan Abdul Bari berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Satria, peti besi, sebuah buku akaun Public Bank, pelbagai kunci, dua utas gelang emas, satu pahat besi, satu spanar dan satu besi pembuka tayar daripada keempat-empat suspek.

"Mereka ini bergiat aktif dalam kegiatan itu pada pertengahan 2008 dan modus operandi yang mereka lakukan ialah dengan melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu malam.

"Keempat-empat mereka ditahan reman bermula hari ini sehingga 30 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment