Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Dua pegawai polis Australia pertahan Scott Rush


Mike Phelan (kiri) hadir memberi keterangan pada kes rayuan Scott Rush (tiada dalam gambar) di sebuah mahkamah di Denpasar, semalam. Rush menghadapi hukuman mati setelah didapati bersalah mengedar dadah. - AFP


DENPASAR 16 Sept. - Dua pegawai kanan polis Australia memberi keterangan di mahkamah hari ini menyatakan bahawa penyeludup dadah warga Australia yang dijatuhi hukuman mati di Indonesia merupakan penjenayah kecil dan tidak sepatutnya dijatuhi hukuman mati.
Bekas Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Mick Keelty dan Timbalan Pesuruhjaya, Mike Phelan hadir di sebuah mahkamah di Bali untuk memberi keterangan dalam proses rayuan terhadap hukuman gantung yang dikenakan ke atas Scott Rush, 24, kerana didapati bersalah menyeludup dadah.
Rush merupakan 'orang tengah' kepada kumpulan penyeludup dadah yang mempunyai sembilan anggota terdiri daripada warga Australia yang ditahan pada 2005 selepas cuba menyeludup 8.3 kilogram heroin dari Bali ke Australia.
Keelty memberitahu mahkamah, Scott bukanlah ketua kumpulan penyeludup itu dan dia tidak sepatutnya dikenakan hukuman mati.
"Scott hanya memainkan peranan yang sangat minimum dan dia bukanlah perancang utama dalam jenayah itu.
"Selain itu, ketika melakukan jenayah tersebut, Scott merupakan seorang remaja yang masih mentah," katanya.
Phelan pula berkata, ia merupakan kesalahan pertama Scott yang melibatkan pengedaran dadah dan jika didakwa di Australia, dia hanya dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun.
Proses rayuan ini merupakan peluang terakhir Scott untuk mengelak daripada dikenakan hukuman mati.
Jika rayuannya ditolak, dia hanya boleh memohon pengampunan daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Scott tidak hadir ke mahkamah hari ini, namun, ketika perbicaraan pada bulan lalu, dia telah merayu dan meminta maaf atas kesalahan yang dilakukannya itu.
"Saya sering mengalami mimpi buruk tentang berapa lama masa yang perlu diambil untuk pasukan menembak membunuh saya," katanya pada perbicaraan di mahkamah di pusat perlancongan popular itu pada bulan lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment