Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Dituduh eksploitasi amah Indonesia



IN CHIEW berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen selepas menghadapi 102 pertuduhan mengeksploitasikan amah warga Indonesia semalam.


KANGAR - Seorang bekas guru, Lee In Chiew menghadapi 102 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana mengeksploitasi amah warga Indonesia dibawah jagaannya melalui syarikat, SI Setia Sejati Sdn. Bhd. (SI Setia Sejati) pada 24 Julai lalu.
In Chiew yang merupakan pengarah syarikat tersebut berdepan 24 pertuduhan mengeksploitasi amah tersebut termasuk tujuh membabitkan ancaman manakala 39 dakwaan lagi dibuat ke atas syarikat SI Setia Sejati miliknya.
Sementara baki 39 lagi pertuduhan dibuat ke atas In Chiew mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang (AAPO) 2007.
Ketika semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan kepada In Chiew oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Afzai Nizam Abdul Aziz, dia mengangguk faham. Walau bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Pendakwaan dijalankan di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kangar, Monica Joseph Jaisah, dalam satu prosiding di Mahkamah Majistret di sini.
In Chiew kemudian dikejutkan apabila hampir dikenakan wang jaminan sebanyak RM1.2 juta ke atasnya berdasarkan permintaan Afzai yang mahu setiap pertuduhan dikenakan jaminan RM10,000.
Bagaimanapun peguam tertuduh, K. Kumarathiraviam bangkit membantah dengan alasan jumlah nilai jaminan keseluruhan RM1.2 juta adalah sesuatu yang tidak munasabah dan keterlaluan bagi anak guamnya.
Jesteru, K. Kumarathiraviam kemudian meminta mahkamah menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi satu pertuduhan saja, yang turut mengikat baki 101 lagi pertuduhan lain.
Bagaimanapun, Monica selepas meneliti hujah kedua-dua pihak menetapkan wang jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan dengan dua penjamin dan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan kes.

No comments:

Post a Comment