Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Dikebumi sebelah kakak


BATU PAHAT 16 Sept. - Keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, berhasrat untuk mengkebumikan jasad ahli perniagaan itu di sebelah pusara kakak sulungnya, Saniah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini.
Mereka berhasrat mengkebumikan jenazahnya sekiranya hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap serpihan tulang yang dijumpai polis mengesahkan usahawan wanita itu telah meninggal dunia.
Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata, keputusan mengkebumikan jenazah Allahyarham itu dibuat selepas mengambil kira pandangan anak Sosilawati dan adik-beradiknya, selain kemudahan semua pihak dalam urusan melawat arwah.
Katanya, persediaan sudah dilakukan bagi membolehkan jenazah dapat dikebumikan bersebelahan pusara Saniah selepas mendapat pengesahan ujian DNA.
"Jenazah akan dikebumikan bersebelahan pusara kakak sulungnya di kampung ini yang meninggal dunia akibat kanser pada April lalu. Anak-anaknya kerap pulang ke kampung menziarah nenek mereka, Yatimi Abdul Rahman, 80, jadi lebih memudahkan semua pihak jika dikebumi di sini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Polis semalam mengunjungi rumah Misjan untuk mengambil sampel DNA ibu jutawan tersebut.
Difahamkan, sampel DNA yang diambil termasuk rambut dan darah bertujuan membuat perbandingan dengan serpihan tulang yang ditemui di Banting, Selangor.
Sementara itu, tinjauan di rumah Misjan mendapati, orang ramai membanjiri rumahnya untuk memberi sokongan moral kepada keluarga jutawan kosmetik itu.

No comments:

Post a Comment