Search This Blog

Thursday, September 30, 2010

Darling kena denda RM15,000



Oleh Siti Nurazlinee Azmi

2010/09/30

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri dihukum denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan, menggunakan dokumen resolusi sebagai palsu, tiga tahun lalu. 

Hakim Jagjit Singh yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Nasreen atau lebih dikenali sebagai Darling, 27, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.
Selepas mahkamah mengambil kira hujahan peguam dan jawapan ringkas Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah KM Abu Bakar dan keinsafan tertuduh termasuk tidak mempunyai rekod lampau, mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan jika ingkar penjara tiga bulan, katanya.
Darling yang membayar denda itu dituduh menggunakan dokumen Resolusi Pekeliling Pengarah, Nasridz Sdn Bhd sebagai tulen di RHB Bank Bhd, Level 1 Tower 2, RHB Centre, 426 Jalan Tun Razak Cheras di sini, pada 16 Ogos 2007. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Terdahulu peguam Darling, A Kailesh dalam rayuan meringan hukuman memberitahu mahkamah anak guamnya mengalami tekanan perasaan apatah lagi beliau kini sedang mengandung dua bulan selepas mendirikan rumah tangga dengan Nur Azlin Rahmat, 34. 

Selain itu, pengadu dalam kes ini, Mohamad Ridzuan Mat Hussin sudah menarik semula laporan bertarikh 18 Mac 2008 dan menandatangani perjanjian penyelesaian pada Mei lalu bersama tertuduh selepas Darling menyerahkan cek bernilai RM150,000 iaitu wang milik Mohamad Ridzuan, katanya. 
Beliau berkata, tertuduh turut menerima kesan daripada kes berkenaan iaitu tiada pendapatan berikutan tidak lagi menerima tawaran berlakon daripada penerbit.

No comments:

Post a Comment