Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Dadah bernilai RM3 juta dirampas


ISMAIL Ibrahim (tengah) menunjukkan dadah disimpan dalam sebuah komputer riba yang dipercayai untuk dihantar kepada pelanggan pada sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 23 Sept. - Makmal memproses dadah yang diserbu di kawasan kebun durian di atas bukit berhampiran Telok Bahang, semalam, dipercayai menjadi tempat memproses 15.3 kilogram heroin, ketamin dan syabu sejak beberapa bulan lalu dengan nilainya dianggarkan mencecah RM3 juta.
Ia yang terletak di kawasan terpencil dan hanya boleh dilalui oleh motosikal atau berjalan kaki, turut disyaki menggunakan pelbagai taktik pengedaran termasuk memasukkan dadah ke dalam komputer riba lama sebelum diseludup ke luar negara.
Sindiket terbabit juga dipercayai sengaja mendirikan makmal di kawasan itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain menempatkan anjing-anjing garang.
Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Ismail Ibrahim berkata, dua lelaki berusia 40-an yang dipercayai anggota sindiket itu berjaya ditahan dalam serbuan tersebut manakala tiga lagi melarikan diri.
"Hasil daripada serbuan itu juga, kita menemui sekeping pasport antarabangsa Malaysia di dalam premis dan kita masih mencari pemiliknya.
"Kita percaya sindiket itu menggunakan makmal ini bagi memproses pelbagai jenis dadah dalam kapasiti besar bagi tujuan pasaran tempatan dan luar negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kejayaan JKDM dan polis dalam membongkar kegiatan memproses dadah selepas menyerbu sebuah rumah papan yang terletak di atas bukit di kawasan tersebut.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pihak berkuasa terbabit turut menemui enam pucuk pistol yang sebahagian besar komponennya dileraikan, senapang patah, pistol mainan dan 100 butir peluru serta pelbagai peralatan memproses dadah.
Seramai 50 anggota dan pegawai daripada JKDM serta polis terlibat dalam serbuan tersebut.
Ismail berkata, walaupun mereka yang ditahan merupakan warga tempatan, siasatan masih dijalankan sekiranya wujud kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya makmal itu baru beroperasi beberapa bulan lalu dan risikan sudah dijalankan di kawasan tersebut sejak 4 September lalu hasil maklumat orang ramai.
"Tumpuan siasatan pihak berkuasa pada masa ini adalah mengesan saki baki anggota sindiket yang terlibat," tambah beliau.
Kes itu katanya, akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

No comments:

Post a Comment