Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Bumbung rumah tercabut dilanda angin kencang





2010/09/15

KEDAI makan Rohaimi  yang rosak teruk dipukul ribut.
KEDAI makan Rohaimi yang rosak teruk dipukul ribut.
KUALA SELANGOR: Bagi penduduk, Siti Zaharah Sanudin, 73, dari Kampung Teluk Piah, di sini, pengalaman bumbung rumah tercabut akibat angin kencang dan ribut petir semalam pasti sukar dilupakan walaupun kejadian itu hanya berlaku dalam masa sejam. 

Ketika menceritakan kejadian pada jam 6.30 pagi itu, Siti Zaharah berkata, beliau amat terkejut dengan deruan angin kuat yang tiba-tiba menggegar dinding dan bumbung rumah yang didiami bersama tujuh ahli keluarga yang lain.Cucu Siti Zaharah, Mohd Hafiz Azalan, 26, pula berkata beliau terdengar angin kuat dan bumbung seakan-akan mahu tercabut lalu mengejutkan semua penghuni rumah yang masih lena kerana bimbang rumah roboh.
“Saya mengejutkan nenek dan membawanya keluar dari bilik untuk mencari lokasi lebih selamat. Beberapa minit kemudian, angin kencang mula mencabut beberapa keping zink dari bumbung rumah kami tetapi mujur ia tidak jatuh menimpa kami,” katanya ketika ditemui Sentral. 

Ketika menceritakan suasana cemas itu, beliau berkata dinding rumah berdentum kuat akibat pukulan angin kencang dan suasana mula bertukar menjadi kelam kabut menyebabkan adik-adiknya mula menangis ketakutan. 

“Mujurlah keadaan reda kembali pada jam 7.30 pagi ini (semalam),” katanya. 

Jiran Siti Zaharah, Dollah Hashim, 68, seorang pesara JKR lega kejadian itu tidak meragut nyawa 11 ahli keluarganya walaupun anjung rumahnya roboh ditiup angin kencang. 
“Kami panik tetapi mujurlah kami sempat berteduh di tempat selamat kerana bimbang rumah terbang dipukul angin. 

“Kerosakan pada anjung rumah ini berlaku di luar jangkaan kerana binaannya kukuh. Angin yang melanda kali ini amat kuat kerana mampu merobohkan pokok besar,” katanya yang kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. 

Sementara itu, di Kampung Pasir Penambang, seorang penduduk, Rohaimi Idris, 39, terkejut kerana angin kencang memusnahkan gerai makannya yang terletak di jeti nelayan. 

“Saya gagal menyelamatkan barang dan lebih malang, kedai saya roboh,” katanya. 

No comments:

Post a Comment