Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Budak lelaki 11 tahun koma ditetak penyamun



SEREMBAN 6 Sept. - Seorang budak lelaki berusia 11 tahun parah selepas kepalanya ditetak dengan parang dalam satu kejadian samun di rumah keluarganya di Taman Ujong, dekat sini awal pagi ini.
Mangsa yang masih koma akibat pendarahan dalaman berikutan kejadian itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Ja'afar di sini.
Mangsa tinggal bersama ibunya yang berusia 46 tahun dan seorang abang berusia 15 tahun di rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan tersebut ketika kejadian sementara bapanya keluar bekerja.
Jurucakap polis memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi ini, lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang telah memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang sebelum naik ke tingkat atas, di mana ketiga-tiga beranak itu sedang tidur.
"Ketika suspek mengejut ketiga-tiga beranak itu daripada tidur, mangsa menjerit kerana terkejut lalu menyebabkan salah seorang daripadanya marah dan bertindak menetak kepala budak lelaki itu dengan parang," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, terkejut dengan tindakan kejam suspek itu, ibu mangsa menjerit meminta tolong. Bagaimanapun salah seorang suspek bertindak menutup mulut wanita berkenaan.
"Seorang lagi suspek kemudiannya meletakkan parang ke leher seorang lagi anak mangsa dan mengugut wanita berkenaan supaya mendiamkan diri.
"Suspek kemudiannya menutup mulut dan mengikat kaki serta tangan kedua-dua mangsa sebelum menggeledah rumah mangsa untuk mencari barangan berharga," ujarnya.
Jelasnya, kelima-lima penjenayah berkenaan kemudiannya melarikan diri selepas setengah jam menggeledah rumah mangsa.
"Hasil siasatan, polis juga menjumpai dua bilah parang di tingkat atas rumah berkenaan dan tiga bilah parang lagi di lokasi berhampiran.
"Kita juga menjumpai satu sarung tangan yang masih mempunyai darah dan satu kemeja T berwarna hijau dipercayai digunakan untuk menutup muka tidak jauh di lokasi kejadian," jelasnya.
Menurut jurucakap polis lagi, buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan.
Sementara itu bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Toh, 46, berkata, sewaktu kejadian dia tiada di rumah kerana menguruskan perniagaan di Rembau.
"Anak saya menjalani pembedahan pada hari ini kerana mengalami pendarahan dalaman," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, polis kini sedang memburu kelima-lima suspek.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

No comments:

Post a Comment