Search This Blog

Saturday, September 25, 2010

Bayi mati tercekik susu





Fairuz Mohamad Stap (tengah) bersama isterinya, Haney Usneza Abdul Hamid menunjukkan gambar anaknya, Farisha Nur Hazreen yang maut selepas tercekik susu yang diberikan pengasuhnya pada Selasa lepas sambil disaksikan Muhd. Khairun Aseh di rumahnya di Fasa 8, Persint 9, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 24 Sept. - Seorang bapa menaruh kepercayaan kepada sebuah pusat asuhan di sini untuk menjaga bayi perempuannya, Farisha Nur Hazreen berusia tiga bulan, ketika dia dan isteri bekerja.
Namun kepercayaan itu dibalas sebaliknya oleh pengurusan pusat tersebut apabila cuai menjaga anak ketiganya sehingga mengakibatkan Farisha Nur Hazreen mati akibat tercekik susu.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada sesak nafas setelah Farisha Nur Hazreen dibiarkan minum susu bersendirian oleh pengasuh di pusat jagaan tersebut.
Bapa Farisha Nur Hazreen, Fairuz Mohamad Stap, 31, berkata, dia mendapat tahu kejadian tersebut setelah dimaklumkan pihak pengurusan bahawa anaknya tidak sedarkan diri pada pukul 10.15 pagi.
Katanya, berikutan itu anaknya telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya.
"Saya kemudian bergegas ke hospital dan dimaklumkan oleh doktor bahawa Farisha Nur Hazreen sudah tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital.
"Denyutan nadinya pun memang telah berhenti biarpun doktor mencuba sedaya upaya memberi oksigen," katanya.
Fairuz ditemui pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh di rumahnya di Fasa 8, Presint 9 di sini, hari ini.
Keluarga bayi itu turut menerima sumbangan daripada Exco Pemuda UMNO yang bersimpati dengan kejadian yang berlaku.
Fairuz berkata, dia belum bercadang mengambil tindakan terhadap pusat jagaan itu kerana buat masa ini keluarganya masih dalam keadaan terkejut.
"Buat masa ini saya dan isteri hanya mahu memulihkan semangat kami atas kejadian yang menimpa Farisha Nur Hazreen.
"Lagi pun tidak ada apa yang boleh dibuat sekarang kerana kejadian itu sudah pun berlaku dan saya reda dengan pemergian anak saya," kata kakitangan swasta itu.
Ibu bayi itu pula, Haney Usneza Abdul Hamid, 30, berharap pusat-pusat asuhan lain mengambil iktibar dengan nasib yang menimpa keluarganya agar kejadian seumpamanya tidak berulang.
Sementara itu, Muhd. Khairun berkata, sudah tiba masanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminda Akta Asuhan Kanak-Kanak 1984.
"Ini bagi memastikan pengasuh bertanggungjawab menguruskan pusat asuhan berlandaskan peraturan ditetapkan," katanya.

No comments:

Post a Comment