Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Bayi lelaki menggigil ditemui bawah jambatan

TAPAH: Perasaan curiga seorang remaja perempuan berjaya menyelamatkan nyawa bayi malang yang ditinggalkan di bawah jambatan Sungai Liar berhampiran Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah (TRAPSK), Sungkai petang kelmarin.
Lebih menyedihkan, ketika ditemui kira-kira jam 5.40 petang, bayi lelaki bertali pusat itu menggigil kesejukan kerana tidak berpakaian serta mengalami luka di telinga kiri, jari tangan kiri dan hidung dipercayai gigitan binatang.
Berdasarkan keadaan fizikal dan persekitaran kawasan dia ditinggalkan, peratusan bayi dipercayai berusia dua hari itu hidup begitu tipis jika remaja berkenaan tidak menemuinya. Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, remaja perempuan berkenaan berada di kawasan kejadian kerana menunggu ibu dan adik lelakinya pulang ke rumah selepas berkelah di Sungai Tesong.

“Remaja berkenaan mendengar bunyi seperti tangisan bayi dan selepas curiga, dia memberitahu keluarganya dan mereka turut mendengarnya.

“Mereka mencari arah suara itu sebelum menemui bayi tidak berpakaian menangis di bawah jambatan merentasi Sungai Liar. Mereka melaporkan penemuan bayi itu kepada polis,” katanya.

Abdullah berkata, pemeriksaan awal polis mendapati bayi itucedera di hidung, jari tangan kiri dan telinga kiri dipercayai akibat digigit binatang.

Katanya, selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai, bayi seberat 1.9 kilogram itu kemudian dirujuk ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment