Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Balik 'curi' surat cerai

KUALA LUMPUR: Suami mana tidak sayu apabila melihat anak dan cucu berhari raya tanpa ibu dan nenek, lebih menyedihkan bukan hanya sekali, tetapi sudah 14 tahun mereka berhari raya tanpanya.
Suami itu, Abdul Manas Awang Kechek, 54, berkata isterinya, Zaiton Ariffin, 45, mula berjauhan daripada keluarga sejak berkenalan dengan seorang lelaki dari Sabah.
Beliau berkata, isterinya mula mengenali lelaki itu sejak dia mula bertugas sebagai pekerja keselamatan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sini, 14 tahun lalu.

“Saya mula mengesyaki perubahan isteri yang mula panas baran itu ada kaitan dengan lelaki berkenaan, malah isteri saya juga pernah mengugut untuk membunuh diri jika tidak menceraikannya,” katanya.

Manas berkata, isterinya nekad melarikan diri dengan lelaki itu ke Sabah tanpa pengetahuannya selepas dia tidak mahu menceraikannya pada November 1996.

Sejak itu, beliau yang ketika itu tinggal di Rumah Panjang Kampung Pasir Panjang berseorangan membesarkan lima anak.

“Saya difahamkan isteri saya tinggal di Sabah, tetapi tidak mengetahui lokasinya.
“Selepas beberapa tahun, isteri ada menelefon anak saya menceritakan apa yang berlaku dan kenapa dia bertindak demikian,” katanya.

Katanya, isterinya beria-ia mahu diceraikan bagi membolehkannya berkahwin dengan kekasihnya.

“Akhirnya saya terpaksa menceraikannya dengan talak satu pada 2004,” katanya.
Beliau berkata, selepas diceraikan, bekas isterinya ada pulang ke rumah baru mereka di Projek Perumahan Rakyat Setapak pada April lalu, tetapi ada muslihat dia pulang ke rumah.

“Bekas isteri saya pulang bagi ‘mencuri’ surat cerai daripada saya bagi memudahkan urusan perkahwinannya,” katanya.

Katanya, dia hanya berada di rumah dua minggu sebelum pulang semula ke Sabah selepas gagal mencuri surat cerai itu.
Manas berharap bekas isterinya pulang semula ke pangkuan anak dan dia bersedia memaafkannya.

No comments:

Post a Comment