Search This Blog

Sunday, September 5, 2010

Badrul ingin bertemu anak di Aidilfitri

KUALA LUMPUR: “Sebagai manusia yang ada hati dan perasaan, semestinya saya akan menjenguk anak. Saya tidak menghilangkan diri, sebaliknya mencari kekuatan untuk menempuh pelbagai dugaan yang menimpa sebelum ini.
Beliau sekali lagi diulit kontroversi apabila isterinya, Julia Daud, 29, mendakwa pelakon itu merampas wang jaminan mahkamah berjumlah RM2,500.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan, Julia berkata, suaminya tidak pulang selepas kejadian itu dan dia tidak kisah kerana anaknya tidak pernah menyebut nama Badrul.

Malah, anak sulung Badrul, Siti Nor Batrisyia, 3, pernah menganggap bapanya sudah mati setiap kali ditanya rakan.

Badrul menyifatkan apa didedahkan isterinya umpama menceritakan keburukan diri sendiri kepada orang lain.

“Anak saya tidak begitu (menganggap bapa sudah mati). Saya malas nak membalas kenyataan Julia. Saya tak nak dedahkan aib dia (Julia),” katanya yang turut menafikan pelbagai dakwaan dilemparkan Julia.
Badrul juga mengakui berdepan penderitaan teruk dan tertekan.

“Sudah lima bulan saya ‘terkangkang’ tak ada job (peluang berlakon). Masyarakat pula memandang sinis. Berat untuk saya menanggung beban ini. Saya bukan sekejam disangka sebab saya menjadi mangsa fitnah,” katanya.
Badrul turut menyatakan perasaan kesal terhadap persatuan membabitkan artis.

“Ketika saya dalam keadaan susah, tak ada persatuan tampil untuk membantu. Saya umpama semut dan mereka (persatuan) umpama gajah. Takkan semut nak mencari gajah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tuntutan cerai Julia pula, Badrul akur dengan keputusan dibuat isterinya.

“Tak perlu saya pertahankan lagi rumah tangga kami sebab dia (Julia) yang menuntut cerai,” katanya.

Julia nekad berpisah dengan suaminya selepas memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 16 Ogos lalu.

Julia berkata, Badrul hadir bersamanya ketika memfail permohonan itu dan berjanji menceraikannya dengan baik.

Katanya, keputusan itu diambil bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka selama ini dan ia penyelesaian terbaik mereka berdua dan keluarga.

Nama Badrul menjadi sebutan selepas isterinya beberapa kali membuat laporan polis, mendakwa diugut dan dicederakan suaminya.

Bagaimanapun, Julia tetap bersabar dan masih menerima Badrul.

No comments:

Post a Comment