Search This Blog

Sunday, September 12, 2010

Ayah terlantar sakit

KUALA LUMPUR: Ketika remaja lain bergembira bersama keluarga menyambut Syawal, tiga beradik diselubungi pilu apabila melihat ayah tersayang terlantar sakit dan hilang ingatan sejak lebih setahun lalu.


SAYANG... Satona melayan suami yang terlantar sakit.
SAYANG... Satona melayan suami yang terlantar sakit.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi di Jalan Enggang, Keramat, Khalid yang bertugas di Balai Polis Ampang baru menamatkan tugas pada hari berkenaan.

Akibat kemalangan itu, Khalid mengalami kecederaan dan pendarahan teruk di kepala, menyebabkan dia koma hampir 10 bulan.

Walaupun kini sudah sedar, dia masih tidak boleh berjalan dan tidak mampu menggerakkan anggota badannya.

Isterinya, Satona Pin Yin, 45, berkata dia dan anak hanya meraikan Aidilfitri secara ala kadar di rumah kediaman mereka di AU1 Taman Keramat, Keramat Permai.

“Sebagaimana tahun sudah, kami tidak ke mana-mana. Dalam keadaan suami begini, baik saya dan anak bersederhana di rumah ini menyambut lebaran.
“Bagi saya, menjaga suami lagi penting daripada beriya-iya menyambut raya. Anak juga sama, tidak mahu berlebih-lebih, sebaliknya menjaga bapa mereka lebih diutamakan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Menurut Satona, sejak suaminya terlantar sakit, beban mencari nafkah hidup memang memeritkan.

Dia terpaksa menanggung persekolahan tiga anaknya yang masih bersekolah dan menuntut di kolej.

Satona berkata, selain mengharapkan gaji suami yang diterimanya, dia terpaksa melakukan kerja sambilan mengambil upah menjaga anak jiran.

“Sebelum ini memang sukar bagi saya, lebih-lebih lagi kos perubatan suami cukup tinggi hingga mencecah RM2,000 sebulan.

“Mana cukup duit gaji bulanan suami yang saya terima. Anak pula bersekolah, saya perlukan duit lebih untuk membantu menyara keluarga kerana sebelum ini saya bergantung hidup pada suami,” katanya.

Setakat ini Satona menerima bantuan kekal berupa susu khas untuk suaminya setiap bulan daripada Baitulmal, selain keprihatinan banyak pihak iaitu keluarga, jiran, anggota juga pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi memberi sedikit bantuan.

Satona berkata, akibat kesempitan wang, anak sulungnya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar bagi membantu keluarga.

“Bagaimanapun, saya halang hasratnya kerana pelajaran sangat penting untuk masa depan. Saya menganggap semua ini sebagai dugaan. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Satona berkata, dalam keadaan suami masih terlantar, Aidilfitri ini menjadi dugaan besar dalam hidupnya.

“Isteri mana tidak sedih mengenangkan nasib suami begini. Siang malam saya mendoakan kesihatan suami.

“Sudah lebih setahun berlalu, tidak sanggup lagi saya melihat dia (suami) terlantar begini di bulan mulia ini. Setiap kali dia mengeluh sakit, hati saya turut merasa sakit,” katanya.

Satona turut mengakui sering terkenang suasana Ramadan sebelum suaminya ditimpa kemalangan, di mana mereka sekeluarga meraikan ibadat puasa bersama.

Tahun ini adalah tahun kedua dia menjaga suami dalam keadaan sedemikian dan dia berharap doanya sepanjang Ramadan dan Syawal termakbul untuk melihat perubahan pada suaminya.

“Saya rindukan suara suami memanggil nama saya. Jika dia lambat pulih seperti biasa, memulihkan ingatannya dan mendengar suaranya semula sudah memadai.

“Apapun, saya bersyukur, setidak-tidaknya kami masih bersama walaupun dalam keadaan begini. Susah senang, saya terima seadanya,” katanya.

Menurut Satona, hanya enam bulan kebelakangan ini Khalid mampu menggerakkan tangan dan tidak lagi makan menggunakan tiub.

Bagaimanapun, katanya, suaminya hilang ingatan dan tidak kenal dirinya sekalipun sedar daripada koma.

“Beberapa kali saya cuba perkenalkan diri kepada suami, dia hanya menggelengkan kepala. Anak juga masih tidak dikenalinya.

“Apapun saya percaya, suami akan pulih dan kembali seperti sedia kala. Doktor pernah memberitahu, suami akan sembuh dalam dua atau tiga tahun ini, buat masa ini saya perlu bersabar,” katanya.

Buat masa ini, kata Satona, doktor dan rakan menasihatinya supaya rajin mengajak suami membelek gambar lama mereka dan cuba bercerita mengenai kenangan hidup mereka untuk membantu memulihkan ingatan suami.

Katanya, siang dan malam dia menunjukkan gambar lama ketika mereka berkahwin 21 tahun lalu kepada suami dan kadangkala dia bercerita bagaimana mereka boleh bersama hingga kini.

“Setakat ini belum ada tanda positif terhadap ingatan suami. Tiada satu pun dalam ingatannya. Dia juga tidak kenal saya, malah ketika saya berkata adakah ibu bapanya masih hidup, dia menganggukkan kepala, sedangka orang tuanya sudah lama meninggal dunia.

“Bagaimanapun, saya sedar ini baru permulaan. Saya yakin lama-kelamaan ingatannya akan pulih, dan kami boleh hidup seperti dulu semula,” katanya.

No comments:

Post a Comment