Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Anak beritahu pesawat jatuh

TEMERLOH: “Saya hampir pitam kerana terkejut sebaik menerima panggilan telefon daripada anak kedua memberitahu dia kemalangan apabila helikopter dinaikinya terhempas,” kata ibu pembantu juruterbang Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Khairil Azuan Jamaludin, 30.


SELAMAT...anggota polis dan bomba memeriksa helikopter terbabit di tempat kejadian, semalam.
SELAMAT...anggota polis dan bomba memeriksa helikopter terbabit di tempat kejadian, semalam.

Beliau seorang daripada tiga mangsa nahas helikopter milik jabatan itu yang terhempas di ladang getah Bukit Lada, Felcra Kuala Kaung, dekat Lanchang, kira-kira jam 10 pagi, semalam Fatimah Sidin, 53, berkata ketika itu dia memasak di rumahnya di Felda Mempaga 1, Bentong manakala suaminya, peneroka tanah rancangan itu, Jamaludin Abdul Wahab, 54, tiada di rumah kerana menghantar kad jemputan majlis perkahwinan anak keempat.
“Khairil Azuan menelefon saya kira-kira jam 11.30 pagi dan memberitahu ‘mak... Angah kemalangan helikopter terhempas dalam ladang getah’.

“Saya menangis kerana bimbangkan keadaannya, tetapi dia meminta saya bertenang selain memaklumkan dia hanya cedera di kepala, pinggang dan rusuk depan.

“Malah, dia juga memaklumkan dua lagi rakan setugasnya cedera termasuk seorang parah. Ketika membuat panggilan itu Khairil Azuan memberitahu masih berada di lokasi kemalangan dan menunggu ketibaan pasukan penyelamat membawa mereka keluar,” katanya ketika ditemui di Wad Kenanga 5, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini.

Menurutnya, tanpa berlengah dia bersiap ke Hoshas dan meminta bantuan jirannya menghantar ke hospital berkenaan kerana suaminya tiada di rumah.

“Saya ke hospital ditemani anak bongsu dan seorang cucu yang juga anak Khairil Azuan, Khairul Harisin berusia setahun yang ditinggalkan sementara ketika cuti hari raya baru-baru ini.

“Dalam perjalanan ke hospital, saya memaklumkan berita itu kepada suami sebelum dia menyusul kemudian. Saya tiba kira-kira jam 12.45 tengah hari dan mendapati dia sudah dirawat di wad kecemasan,” katanya.

Katanya, Khairil Azuan sempat bercuti seminggu menyambut Aidilfitri di kampung bersama isteri, Sabrina Subanrio, 30, jururawat di Hospital Selayang (HS) sebelum masing-masing bertugas pada 13 September lalu.

“Apapun, saya bersyukur kerana dia terselamat dan hanya cedera. Walaupun terlalu cemas ketika menerima berita itu, namun perasaan itu beransur hilang selepas mendengar suaranya dalam telefon yang memberitahu keadaannya selepas kemalangan.

“Saya sekeluarga lega selepas melihat dan bercakap dengan dia ketika melawatnya,” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian yang juga pekerja ladang getah tempat nahas helikopter, Khamis @ Wahab Yaakob, 60, berkata dia terdengar bunyi enjin helikopter terbang rendah dengan jelas dalam keadaan berkabus di kawasan bukit sebelum terdengar satu letupan kuat.

Menurutnya, dia sempat melihat pesawat terbabit berpusing sebelum melanggar dan menghentam pokok getah yang berada di atas bukit sebelum terhempas di celah pokok.

“Saya yang terkejut dengan kejadian itu menunggang motosikal ke arah helikopter terbabit terhempas dan sebaik tiba semua yang ada di dalamnya sudah keluar.

“Semua mangsa luka dan saya memberitahu jangan panik. Saya juga mendapati seorang daripada mereka luka teruk di leher sebelum seorang lagi bertanya di mana tempat ini dan saya memaklumkan mereka berada di Bukit Lada, Lanchang,” katanya.
Katanya, dia turut memaklumkan kejadian itu kepada pengurus ladang sebelum membuat laporan di Pondok Polis Mempatih untuk tindakan lanjut.

“Tidak lama kemudian beberapa kakitangan Felcra tiba di tempat kejadian dan menghantar mangsa ke Hoshas,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, meluangkan masa kira-kira sejam melawat dan bertanya khabar dengan dua mangsa, Khairil Azuan dan Kuatermaster Udara JBPM, Asrul Mohd Nordin, 33, di wad berkenaan manakala seorang lagi mangsa, juruterbang, Kapten Roslan Aziz, 30, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Bagaimanapun, Khairil Azuan dan Asrul enggan ditemuramah dengan alasan mendapat arahan pihak atasan supaya tidak membuka mulut kepada pihak media.

No comments:

Post a Comment