Search This Blog

Sunday, September 5, 2010

243 anggota JPJ di 11 laluan utama P. Pinang



MUHAMMAD Yusoff Wazir (kiri) membantu seorang penunggang motosikal mengikat topi keledar selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di Perai, kelmarin.


PERAI 4 Sept. - Seramai 243 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditempatkan di 11 laluan utama di seluruh negeri ini sempena Ops Sikap Ke-22 yang bermula 3 hingga 17 September ini.
Penolong Pengarah JPJ negeri, Jamaludin Shariff berkata, laluan-laluan yang dikenal pasti itu termasuk di Bagan Ajam, Permatang Tiga Ringgit, Bumbung Lima, Sungai Bakap, Nibong Tebal dan Jelutong.
"Selain pemantauan di jalan-jalan berisiko tinggi berlaku kemalangan, pihak kami juga memeriksa kenderaan pengangkutan awam.
"Sejak semalam, sebanyak 60 buah bas ekspres diperiksa bagi memastikan pemandunya mengambil berat tentang aspek keselamatan seperti tayar dan brek sentiasa berkeadaan baik," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam.
Turut hadir Pengarah Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang, R.S. Jegan dan Pegawai Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Asisten Supritendan Abdul Ghani Mohd. Ali.
Pada majlis berkenaan, pelbagai risalah, kuih-muih dan topi keledar diedarkan secara percuma kepada penunggang motosikal.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir menasihatkan pemandu supaya mengamalkan 'petua' tertentu bagi mengelak berlaku kemalangan khususnya pada musim perayaan.
"Petua ini adalah tidak memandu laju secara melulu sebab kelajuan tanpa had boleh membunuh.
"Sekiranya disiplin diri sudah tidak ada ketika memandu, pelbagai insiden tidak diingini boleh berlaku," ujarnya.
Beliau berkata, sepatutnya pemandu kenderaan mengambil iktibar daripada kes-kes kemalangan maut yang kerap berlaku di seluruh negara pada setiap kali musim perayaan.

No comments:

Post a Comment