Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

14 terbunuh pengebom rempuh balai polis





2010/09/07

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 34 yang lain cedera apabila seorang pengebom bunuh diri merempuh kereta yang sarat dengan bahan letupan ke arah sebuah balai polis di barat laut Pakistan. 

Sembilan daripada yang maut adalah anggota polis, kata pegawai kanan polis, Iftikhar Ahmad kepada AFP melalui telefon selepas serangan terhadap Lakki Marwat di Khyber Pakhtunkhwa, tidak jauh dari kawasan yang menjadi kubu kuat Taliban.
Shahid Hameed, seorang jurucakap bagi polis Lakki Marwat mengesahkan angka kematian terbabit. Polis berkata seramai 20 anggota polis adalah antara yang cedera.
Polis berkata letupan memusnahkan bangunan balai polis dan memusnahkan bangunan pentadbiran berhampiran. 

Seorang doktor di hospital utama Lakki Marwat berkata lapan mayat dan 13 
mangsa yang cedera dibawa ke hospital yang turut musnah dalam kejadian yang sama. 

Ada enam anggota polis yang maut. Dua mayat mereka tidak dapat dikenali, kata doktor, Abdul Majid Marwat kepada AFP. 
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman terbabit tetapi Taliban Pakistan disalahkan terhadap serangan yang sama. 

Kumpulan terbabit Jumaat lalu berikrar untuk melakukan serangan di Pakistan dan terhadap Amerika Syarikat serta Eropah selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan kumpulan terbabit dalam senarai pengganas antarabangsa. 

Militan melancarkan satu siri serangan ketika umat Islam menyambut hari-hari terakhir Ramadan walaupun ketika negara terbabit berhadapan dengan banjir besar yang membunuh hampir 1,800 orang dan menyebabkan berjuta-juta memerlukan bantuan. 

Jumaat lalu, seorang pengebom bunuh diri membunuh sekurang-kurangnya 59 orang di sebuah perhimpunan Islam Syiah di Quetta, ibu kota wilayah Baluchistan. 

Serangan berlaku beberapa hari selepas tiga pengebom bunuh diri membunuh 31 orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain ketika majlis Syiah di Lahore. Serangan didakwa dilakukan Taliban Pakistan. AFP

No comments:

Post a Comment