Search This Blog

Monday, September 13, 2010

10 rumah terjejas ribut




KLEBANG – Dentuman petir yang kuat, angin kencang dan hujan lebat mengakibatkan bumbung berterbangan dan rosak membabitkan lebih 10 buah rumah di sekitar Taman Bertuah dekat sini, petang kelmarin. 

Antara kawasan yang terjejas teruk akibat bencana itu adalah di sekitar Persiaran Klebang Selatan 21, 29 dan 31. 
Difahamkan, selain Taman Bertuah, beberapa taman berhampiran seperti Taman Chepor pernah mengalami kejadian yang sama sebelum ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, beberapa buah rumah terjejas akibat angin kencang dan hujan lebat itu. 

Selain itu, Jalan Kuala Kangsar yang menjadi laluan utama sebelum memasuki kawasan perumahan terbabit turut dinaiki air setinggi 0.5 meter menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku selama setengah jam. 

Seorang penduduk, S Yanasegaran, 43, berkata, hujan lebat sejak jam 4.30 diikuti angin kencang menyebabkan beliau keluar ke laman rumah untuk melihat keadaan di luar. 

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat beberapa keping atap genting berterbangan melanggar kabel elektrik sehingga menyebabkan percikan api. 

“Akibatnya, rumah di sekitar kawasan ini mengalami gangguan bekalan elektrik,” katanya yang baru pertama kali mengalami situasi itu sejak 20 tahun menetap di taman berkenaan. 

Yanasegaran berkata, terdapat bumbung rumah yang tercabut dan terbang sejauh 100 meter daripada rumah terbabit impak daripada angin kencang itu.

Beliau berkata, ada di antara rumah terbabit didiami keluarga Melayu dan kebanyakan daripada mereka tiada di rumah kerana pulang ke kampung menyambut perayaan Aidilfitri. 

Seorang lagi penduduk, R Raman, 43, berkata, ketika kejadian beliau bersama isteri dan dua anaknya sedang bersiap untuk melakukan upacara keagamaan di bahagian ruang tamu. 

“Belum sempat memulakan upacara, tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat di bahagian atas rumah. 

“Saya segera ke atas dan melihat atap genting sudah tercabut berterbangan malahan siling juga bocor sehingga menyebabkan air hujan masuk membasahi seluruh rumah,” katanya. 

Menurutnya, kejadian itu adalah yang kedua menimpa mereka. Sebelum ini perkara yang sama berlaku kira-kira lima tahun lalu namun tidak seburuk petang itu. 

Raman berkata, pelbagai barangan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan perabot rosak akibat dimasuki air. 

“Kerana bimbang keluarga terkena renjatan elektrik saya menyuruh isteri untuk menutup kotak suis utama bekalan elektrik dengan segera,” katanya. 

Katanya, tingkap jiran di bahagian dapur turut pecah kerana terkena serpihan atap genting yang berterbangan pada kejadian angin kencang itu. 

“Setakat ini, kami masih belum mendapat menilai kerugian yang dialami. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini,” katanya. 

Hujan lebat dan angin kencang mula reda kira-kira jam 6 petang.

No comments:

Post a Comment