Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Warga emas nyenyak tidur nyaris rentung

MASJID TANAH: “Saya cuma sempat mencapai bantal, kain pelekat dan beg duit saja sebelum bergegas berlari keluar menyelamatkan diri kerana tidak sedar api sedang marak,” kata seorang warga emas yang tertidur ketika rumahnya sedang dijilat api di Kampung Seri Jeram, dekat sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Ahmad Osman, 77, dikatakan terlelap selepas menunaikan solat Zuhur dalam bilik tidurnya, namun terselamat daripada rentung selepas dikejutkan seorang anak lelakinya.
Dalam kejadian itu, Ahmad yang tinggal bersama anak sulungnya, Intan, 54, dan dua cucu serta tiga cicitnya bersendirian di rumah papan setingkat itu manakala yang lain mempunyai urusan di luar.

Intan berkata, bapanya baru saja selesai menunaikan solat Zuhur lalu mengambil keputusan berbaring seketika dalam biliknya, tetapi terlelap tanpa menyedari api mulai marak dari bahagian tengah rumahnya.

Menurutnya, dia juga tidak menyedari rumah didiami bersama bapanya itu terbakar dalam sekelip mata dan memusnahkan semua harta benda termasuk perabot jati yang baru dibeli beberapa bulan lalu dan peralatan rumah yang lain.

“Ketika kejadian, saya kebetulan berada di rumah sebelah sedang menyiap dan membuat kek sebelum diberitahu jiran, rumah saya terbakar lalu keluar untuk melihat apa berlaku sebelum berasa terkejut,” katanya ketika ditemui, di sini.

“Saya hanya mampu melihat api marak dengan tiba-tiba sambil menjerit meminta pertolongan jiran lain sambil sempat melihat asap tebal memenuhi ruang sehingga boleh terasa bahang api.

“Pada masa sama, saya terus menghubungi adik lelaki untuk memeriksa dalam rumah, kalau-kalau bapa saya berada di dalam sebelum menemui bapa sedang nyenyak tidur dan bersyukur dia (bapa) selamat walaupun kami kini tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Kerugian dianggarkan hampir RM200,000 membabitkan kelengkapan rumah enam bilik tidur itu. yang dilengkapi pelbagai perabot jati yang baru dibeli dan juga peralatan lain seperti televisyen, peti sejuk serta barangan elektrik lain.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Zainudin Joned berkata, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.38 tengah hari.

No comments:

Post a Comment