Search This Blog

Sunday, August 8, 2010

Warga emas mati kereta terbakar



IPOH 7 Ogos - Seorang lelaki warga emas ditemui mati terbakar dalam kereta miliknya di Kampung Baru Bukit Merah dekat Menglembu di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai mati akibat terperangkap dalam keretanya.
Sebelum itu, mangsa dikatakan ke sebuah rumah untuk bertemu seorang kenalannya sebelum memasuki semula ke dalam keretanya, Honda Civic yang diletakkan di hadapan kediaman tersebut.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, kereta itu kemudian tiba-tiba dilihat terbakar.
Beliau berkata, beberapa penduduk yang menyedari kebakaran itu cuba mengeluarkan mangsa dan memadamkan kebakaran tetapi api marak terlalu pantas.
"Lelaki tersebut sudah mati apabila api berjaya dipadamkan oleh penduduk," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan berkata, sepasukan enam anggota bomba dengan sebuah jentera tiba di tempat kejadian dalam masa 20 minit selepas menerima aduan pada pukul 12.34 tengahari ini.
"Semasa sampai, kebakaran tersebut sudah dipadamkan orang awam. Kami tidak menolak kebakaran itu disebabkan oleh perbuatan sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan lanjut akan dijalankan," katanya.

No comments:

Post a Comment