Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Wanita tercampak dilanggar pacuan 4 roda

SEREMBAN: Seorang wanita maut akibat tercampak keluar dari kereta Perodua Kancil yang dinaikinya selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 273.5 Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat sini, kelmarin.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa yang maut dalam kemalangan, kelmarin.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa yang maut dalam kemalangan, kelmarin.
REMUK...keadaan Perodua Kancil dinaiki mangsa yang remuk.
REMUK...keadaan Perodua Kancil dinaiki mangsa yang remuk.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Norah Zakaria, 45, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Kejadian dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika berada di lorong kanan menyebabkan kenderaannya gagal dikawal lalu terbabas ke kiri lebuh raya.

Jurucakap polis berkata, kenderaan itu kemudian masuk ke dalam longkang di kiri lebuh raya dan mangsa tercampak keluar sebelum mati di tempat kejadian.

“Anak lelaki Norah berusia 11 tahun yang turut berada dalam kenderaan berkenaan patah tulang pinggul.

“Pemandu kereta Perodua Kancil iaitu seorang wanita berusia 27 tahun dan dua lagi wanita yang turut berada dalam kenderaan itu hanya cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada siasatan polis, semua mangsa yang menaiki kereta Perodua Kancil itu dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Klang, Selangor.

Menurutnya, setakat ini pemandu kenderaan pacuan empat roda berwarna gelap belum tampil membuat laporan mengenai kemalangan itu.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan pada masa sama meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan,” katanya.

Mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Mohd Taufiq Abd Samad di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment