Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Wanita maut terbakar



TENOM 12 Ogos - Seorang wanita rentung setelah terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Kampung Bangkulin Bawa di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Caroline Kawati, 30, dikatakan tinggal bersendirian selepas keluarganya keluar ke rumah jiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Jamal Kayat berkata, mangsa ditemui rentung dalam keadaan tertiarap di bahagian tengah rumah berkenaan.
"Setibanya bomba di tempat kejadian, keseluruhan rumah kecil tersebut sudah pun hangus dan hanya tinggal bara atau sisa kebakaran.
"Pasukan bomba dimaklumkan terdapat seorang mangsa dewasa terperangkap dalam kebakaran tersebut.
"Mangsa ditemui tertiarap di atas lantai dan disyaki terperangkap ketika api marak," katanya dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, semasa kejadian jiran-jiran mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal kerana api marak dengan begitu cepat.
Dalam pada itu, katanya, berdasarkan siasatan awal jumlah kerugian adalah kira-kira RM8,000.
Bagaimanapun, katanya, punca kebakaran masih disiasat.
Sementara itu, Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.55 petang dan sampai di tempat kejadian pukul 5.30 petang disebabkan faktor jarak.
"Bomba berjaya mengawal keadaan pada pukul 5.50 petang manakala operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya pada pukul 6.20 petang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment