Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Wanita dinodai sebelum dibunuh

SUNGAI PETANI: “Saya sangkakan bangkai babi hutan, tetapi rupa-rupanya mayat,” begitu kata seorang penoreh dikenali sebagai Shamugam, 50, yang menemui mayat wanita dalam keadaan separuh bogel di ladang getah di Kampung Rusa, Amanjaya, di sini, semalam.
Mayat wanita berusia 20-an dipercayai mangsa rogol dan bunuh itu ditemui kira-kira jam 10 pagi ketika Shamugam sedang menoreh di kawasan itu.
Difahamkan, mangsa dipercayai berketurunan Siam dan ditemui dalam keadaan tertiarap dengan terdapat kesan darah di bahagian muka dan kepalanya dipercayai dipukul.

Shamugam ketika ditemui berkata, sebelum penemuan mayat itu, dia sedang menoreh berhampiran kawasan semak di tempat kejadian sebelum ternampak satu objek mencurigakan yang pada mulanya disangkakan bangkai babi hutan berikutan haiwan itu sering berkeliaran di ladang getah berkenaan.

“Saya kemudian menghampiri objek itu sebelum terkejut apabila mendapati ia bukan bangkai babi, sebaliknya mayat manusia dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel,” katanya yang kemudian memanggil beberapa rakan sekerja sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan kecederaan parah di muka dan kepala manakala baju dipakai hampir tertanggal dan seluar dalam pula terlurut hingga paras lutut. Bagaimanapun, seluar mangsa tidak ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, polis turut menemui beberapa barang milik mangsa yang bertaburan di kawasan ladang tidak jauh dari tempat mayat ditemui, namun tidak menemui sebarang objek atau senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

No comments:

Post a Comment