Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

Wanita antara empat ditahan edar syabu

KUALA LUMPUR: Polis merampas 2.6kg dadah jenis syabu bernilai RM650,000 dan menahan seorang wanita warga China bersama tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah tempat letak kereta di sebuah pusat membeli belah di Damansara, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammad berkata, dalam serbuan pada jam 5 petang itu, polis pada mulanya menahan seorang daripada tiga lelaki itu, yang merupakan warga asing, dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk urusniaga dadah. "Lelaki warganegara Indonesia berumur 41 tahun ini sedang menjalankan urusan jual beli dadah syabu di tempat letak kereta itu. "Selepas itu, beberapa minit kemudian polis berjaya menahan lagi dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berumur antara 31 hingga 41 tahun di kawasan sama," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata, polis yang memeriksa sebuah kereta jenis Kia Carens, dipercayai milik suspek, menjumpai syabu yang diletakkan di dalam kotak kasut. Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati syabu yang dirampas adalah daripada gred berkualiti tinggi dan dipercayai dibawa masuk dari negara luar untuk edaran di sekitar Lembah Klang.
"Ini adalah rampasan terbesar daripada segi nilai di daerah Petaling Jaya. "Kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaian dengan sindiket luar negara yang didalangi oleh warga asing. Bagaimanapun identiti dalang sindiket tersebut belum dapat dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki rakyat Indonesia itu kerap keluar masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Dua rakyat tempatan berkenaan didapati tidak mempunyai pekerjaan dan tiada rekod jenayah.

"Kesemua yang ditahan positif dadah jenis methaphetamine dan ditahan reman sehingga 29 Ogos ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment