Search This Blog

Monday, August 23, 2010

Trauma menjelang Aidilfitri




KUANTAN - Menjelang dua minggu sambutan Aidilfitri, sambutan Syawal tahun ini pastinya mengundang duka buat keluarga Hashim Udin berikutan kebakaran rumahnya di Kampung Bukit Pelindung kira-kira jam 1.20 petang, di sini, semalam. 

Ketika kejadian, Hashim yang juga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berada di Kuala Lumpur dan hanya anaknya, Diana, 24, dan dua cucunya berusia empat dan dua tahun berada di dalam rumah lot banglo berkenaan yang mempunyai empat bilik. 

Tiga beranak itu selamat kerana sempat keluar dari rumah menjerit meminta tolong dan Diana yang juga tukang jahit hanya mampu menyelamatkan baju tempahan pelanggan, sebuah kereta dan motosikal hasil bantuan jiran. 

Namun usaha menemu bual mangsa gagal kerana masih trauma dan hanya mendiamkan diri sepanjang usaha memadamkan kebakaran dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba Bukit Ubi, di sini apabila melihat rumahnya hangus dimakan api. 

Saksi kejadian, Mat Zaid Omar, 48, yang juga seorang peniaga berkata, dia mendengar jeritan Diana meminta tolong dan ketika itu berada kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian. 

“Saya mendengar jeritan ‘rumah terbakar, rumah terbakar’ dan menelefon bomba kira-kira jam 1.20 petang sebelum membantu mangsa untuk menyelamatkan barang-barang lain namun gagal kerana api marak dengan cepat. 

“Setengah jam kemudian, bomba datang dan saya bersyukur kerana mangsa selamat dan tiada yang cedera kerana saya mengenali mereka sekeluarga sebagai jiran terdekat,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, kebakaran itu sememangnya menggemparkan penduduk kampung di lorong itu memandangkan kejadian sebegitu kali pertama berlaku. 

Sementara itu, Ketua Operasi, Tuan Farid Pisri berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian selain memberitahu pihak bomba berjaya mengawal api dari terus merebak kira-kira 10 minit. 

Menurutnya, seramai 16 anggota, seorang pegawai dan dua jentera terlibat dalam operasi memadam dan berjaya memadamkan sepenuhnya api kira-kira setengah jam. 

“Api terlalu pantas merebak dari belakang hingga ke atas siling dan ketika sampai pun, api dah sampai hingga ke ruang tamu. 

“Kita masih belum dapat mengenal pasti jumlah kerugian sebenar memandangkan tuan rumah pun masih berada di Kuala Lumpur,” katanya.

No comments:

Post a Comment