Search This Blog

Monday, August 23, 2010

Tragedi letupan dahsyat



KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak terbunuh, manakala dua remaja cedera parah apabila sebuah rumah dipercayai menjadi gudang tempat simpan mercun meletup dalam satu kejadian di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, di sini, semalam. 

Khairul Ariff Ayob, 6, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala selain tercampak di atas pokok setinggi 15 meter berhampiran rumah berkenaan. 

Mayat mangsa dalam keadaan mengerikan dikatakan diturunkan orang ramai yang berada di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital. 

Dua lagi mangsa berusia dalam lingkungan 20-an yang belum dikenalpasti identitinya cedera parah pada bahagian kaki dan muka dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari itu menggemparkan orang ramai kerana gegaran dan bunyi letupan dikatakan boleh didengari hingga sejauh kira-kira satu kilometer. 

Bunyi kuat dan gegaran itu mencetuskan tanda tanya di hati masyarakat setempat menyebabkan mereka mengerumuni tempat kejadian bagi mengetahui kejadian sebenar yang berlaku. 

Malah, akibat letupan itu juga rumah tinggal yang sebelum ini dalam keadaan baik, mengalami rosak teruk yang mana dindingnya tercabut manakala tangga batu hancur. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang turut turun padang meninjau lokasi kejadian menyifatkan kemalangan itu yang paling dahsyat pernah berlaku di negeri ini. 

Sehubungan itu, beliau mengarahkan satu siasatan terperinci dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kejadian letupan yang mengorbankan satu nyawa. 

Selain itu, Mohd Shukri berkata, pihaknya juga akan meminta bantuan Unit Forensik dari Kuala Lumpur datang bagi membantu menyiasat insiden itu. 

“Oleh itu, kita minta kerjasama orang ramai supaya tidak bermain mercun menjelang hari raya ini bagi mengelak kejadian malang seumpama itu berlaku. 

"Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya

No comments:

Post a Comment