Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

Tiga warga Bangladesh melecur, tong gas masak meletup



Habibur Rahman dibawa ke unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang selepas muka dan anggota badannya melecur teruk akibat daripada letupan gas di Taman Iping Batu Maung, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 30 Ogos – Hasrat tiga rakyat Bangladesh untuk memasak juadah berbuka puasa tidak kesampaian apabila tong gas yang digunakan tiba-tiba meletup di rumah sewa mereka di Taman Iping, Batu Maung, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, semua mereka yang merupakan pekerja sebuah kilang di sini cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kesemua mangsa yang melecur hampir seluruh badan itu dikenali sebagai Alim, 23, Rafiqul, 24, dan Habibur Rahman. Habibur paling serius kerana berada hampir dengan tong gas terbabit.
Menurut rakan mangsa, Mohamad Anwar Abdul Rahman, 31, kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mereka sibuk menyediakan juadah berbuka puasa.
“Ketika sibuk memasak secara tiba-tiba gas meletup lalu menyambar ketiga-tiga mereka dan apabila menyedari kejadian itu saya terus meminta pertolongan jiran.
“Ketiga-tiganya kemudian dibawa ke HPP dengan ambulans dan semasa dihantar mereka berada dalam keadaan sedar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Kecemasan HPP di sini malam tadi.
Mohamad Anwar berkata, ketiga-tiga mangsa kini ditahan untuk rawatan lanjut kerana kecederaan parah.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana doktor memaklumkan keadaan mereka tidak serius tetapi mengambil sedikit masa untuk sembuh.

No comments:

Post a Comment