Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Tiga lelaki kekal sabitan hukuman mati




PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap tiga lelaki dalam dua kes bunuh berasingan. 

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan semakan dan rayuan ketiga-tiga tertuduh dalam satu keputusan sebulat suara. 

Panel itu dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff. 

Dalam kes pertama, seorang nelayan, Abdul Razak Dalek gagal dalam usaha terakhirnya mengelak ke tali gantung apabila korum berkenaan menolak permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan 4 Jun lalu yang mengesahkan sabitan serta hukuman mati terhadapnya kerana membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa selepas wanita itu menafikan haknya sebagai seorang suami. 

Panel itu menerima bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang berhujah Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan itu mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan. 

Abdul Razak, 58, disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, di rumah abangnya, di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar, 3 September 2001 dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lalu. 

Dalam kes kedua, korum sama mengesahkan sabitan dan hukuman mati terhadap Mahadzir Yusof, 27, dan Mohd Anuar Mat Ripin, 26, kerana membunuh Azley Abu Bakar, 27, di tepi Jalan Pisang Raja Udang, Desa Harmoni, Kluang, Johor, antara jam 2 pagi dan 4.30 pagi, 18 Disember 2002. 

Hakim Alauddin memutuskan rayuan tidak mempunyai merit. 

Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum mati Mahkamah Tinggi Muar pada 19 Mac 2008, dan Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 24 Ogos tahun lalu.

No comments:

Post a Comment