Search This Blog

Sunday, August 15, 2010

Tiba-tiba semua hilang

KULIM: Seorang penyelia tapak pembinaan di Taman Kulim Utama Fasa Dua yang hairan apabila mendapati tiada seorang pun pekerjanya bekerja kelmarin akhirnya menemui mayat seorang lelaki di tingkat atas sebuah rumah yang sedang dibina di kawasan itu.
Dia yang terkejut dengan penemuan mayat itu kemudian menghubungi Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) sebelum PPKM membantu menghubungi polis.
Penyelia yang enggan dikenali itu, berkata dia menyelia lapan pekerja tetapi pada pagi kelmarin, semua pekerjanya tidak datang bekerja.

“Semua pekerja saya ‘hilang’ menyebabkan terpaksa memeriksa kawasan ini sebelum terkejut sebaik memasuki rumah berkenaan.

“Apabila naik ke sebuah bilik di tingkat atas, saya terkejut apabila mendapati ada orang terbaring dengan darah banyak di belakang badan,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Menurutnya, dia percaya lelaki yang dibunuh itu adalah pekerja di tapak pembinaan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, mangsa dipercayai seorang warga Myanmar berusia lingkungan 30-an dan dipercayai meninggal dunia kurang daripada 24 jam.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul dengan objek keras atau ditikam, selain itu polis tidak menolak kemungkinan mangsa tidur ketika diserang berdasarkan keadaan mangsa,” katanya.

Katanya, polis kini mengesan rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan dan hingga kini tiada tangkapan dibuat.

Beliau berkata, kejadian itu kes kedua membabitkan warga Myanmar dibunuh dalam tempoh kurang dua minggu.

No comments:

Post a Comment