Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

Tahanan sengaja cetus marah


Oleh Norfatimah Ahmad dan Nor Fazlina Abdul Rahim

2010/08/26

Pegawai imigresen dilatih urus tekanan, kawal emosi

PUTRAJAYA: Pegawai imigresen yang bertugas di 13 depoh tahanan jabatan itu sentiasa berdepan provokasi tahanan warga asing yang terpaksa tinggal di bangunan itu dalam keadaan tidak selesa. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata provokasi melalui tutur kata atau perlakuan di kalangan tahanan adalah perkara biasa yang perlu dihadapi pegawainya.Ada ketikanya dalam keadaan depoh tiada bekalan air, bekalan elektrik terputus, sistem pengudaraan yang tidak bersih dan sistem menjaga kebersihan awam yang tidak memuaskan, tahanan boleh bertindak di luar dugaan dan menyebabkan pegawai imigresen tidak dapat mengawal emosi hingga berlakunya kekecohan.Boleh dikatakan, setiap depoh tahanan menghadapi masalah sama dan memberi tekanan kepada pegawai imigresen. Malah, jika ada kakitangan imigresen dipindahkan ke depoh tahanan, ia akan menimbulkan persepsi negatif kerana keadaannya yang daif, sekali gus boleh menjatuhkan semangat kerja mereka, katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Kelmarin, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam mengakui 13 depoh tahanan Jabatan Imigresen di seluruh negara tidak memenuhi kriteria pusat tahanan, selain mengalami kesesakan dan kekurangan tenaga kerja berpengalaman bagi mengawal selia premis terbabit. 

Sehubungan itu, beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) merangkumi penambahbaikan aspek keselamatan, peralatan dan latihan untuk kakitangan semua agensi berkaitan pengurusan 13 depoh tahanan itu akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan untuk dikemukakan kepada Kabinet. 

Mahmood berkata, SOP yang akan diguna pakai adalah garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Pertubuhan Pemindahan Antarabangsa (IOM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). 
Kelmarin, Berita Harian mendedahkan 10 depoh tahanan imigresen di seluruh negara yang mewarisi bangunan tinggalan pangkalan Unit Kawalan Kawasan (UKK) sejak awal 1970-an, kini dalam keadaan daif dan sesak serta perlu dinaik taraf. 

Sehubungan itu, Abdul Rahman menyarankan semua 1,300 pegawainya yang ditugaskan di 13 depoh tahanan supaya dihantar menjalani latihan pengurusan tekanan dan psikologi bagi memudahkan urusan harian ketika mengendalikan tahanan warga asing. 

Sebelum ini, pegawai imigresen hanya diberi latihan untuk mengawal keadaan ketika berlaku kejadian kecemasan seperti rusuhan atau warga asing melarikan diri, katanya. 

No comments:

Post a Comment