Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Suami bungkus dadah ditahan lepas hantar isteri bersalin

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang baru pulang menghantar isterinya bersalin di sebuah hospital di sini, ditahan polis bersama dua rakannya kerana disyaki terbabit pengedaran dadah, Jumaat lalu.
Lelaki berusia 20-an itu pulang ke bilik hotel murah yang disewa mereka di Jalan Pegawai di sini, sejak lima hari lalu untuk membungkus dadah, kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketika diserbu, ketiga-tiga suspek leka membungkus dadah itu menjelang solat Jumaat dan menyangka polis tidak mengesan kegiatan licik mereka.

Ketua Jabatan Narkotik Kedah, Superintendan Baharom Othman, berkata serbuan diketuai Inspektor Samsualan Samsudin bersama anggotanya membuat pemeriksaan di hotel tiga tingkat berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di sebuah bilik menemui tiga lelaki berusia 20 hingga 40-an leka membungkus beberapa peket kecil disyaki dadah.

“Pemeriksaan lanjut menemui 42 peket dadah disyaki heroin dan syabu yang siap dibungkus dalam plastik kecil lut sinar di dalam bilik berkenaan dengan nilai pasaran kira-kira RM10,000. Bilik itu dipercayai disewa seorang dari suspek sejak lima hari lalu dan menjadikan bilik itu untuk membungkus semula dadah diperoleh.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperoleh dan dipercayai dipasarkan di bandar raya ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya, semua suspek rakyat tempatan dan ketiga-tiga mereka pernah ditahan polis kerana memiliki dadah.

No comments:

Post a Comment